KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat Austria telah menyuarakan hasrat untuk melabur di Malaysia berikutan kedudukan strategik negara ini sebagai pintu masuk ke rantau Asia Pasifik, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan pada Jumaat, MITI berkata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menemui rakan sejawatannya iaitu Menteri Digital dan Hal Ehwal Ekonomi Austria Dr Margarete Schrambock dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) di Vienna bagi meninjau bidang pertumbuhan pelaburan dan perdagangan dua hala.

Menurutnya, dokumen membabitkan aspek pewujudan tumpuan utama telah dimeterai pada 8 Julai, 2021 yang membolehkan pegawai kanan dilantik mengadakan dialog secara langsung serta bertukar-tukar idea bagi mengembangkan peluang perdagangan dan pelaburan selain meningkatkan kerjasama ekonomi.

MITI berkata, sejajar tumpuan Malaysia terhadap isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Mohamed Azmin turut memberi jaminan kepada Schrambock bahawa Malaysia akan memudahkan minat syarikat Austria yang dikenali kerana mengutamakan tenaga bersih dalam pengeluaran produk dan perkhidmatan masing-masing.

Pada misi TIM itu, MITI berkata Mohamed Azmin turut mengadakan perbincangan meja bulat dengan Dewan Ekonomi Austria (WKO) yang mana beliau bersetuju mengenai keperluan segera untuk meningkatkan penglibatan kerjasama strategik perniagaan-kepada-perniagaan khususnya dalam industri seperti pembuatan pintar, kecerdasan buatan, industri aeroangkasa, peranti perubatan serta tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, beliau juga mengadakan perbincangan dengan pihak Stellantis N.V iaitu pengeluar automotif dengan kemudahannya di 30 negara serta mempunyai lebih 300,000 pekerja.

"Perbincangan itu menyentuh bagaimana Stellantis dapat meningkatkan pelaburan mereka, terutama sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Nasional yang menggalakkan kenderaan elektrik (EV) menerusi insentif-insentif khusus termasuk aspek import sepenuhnya (CBU) sebelum penyediaan pengeluaran pemasangan tempatan (CKD)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut MITI, jumlah perdagangan Malaysia dengan Austria telah melonjak 32.2 peratus kepada RM1.31 bilion bagi tempoh lima bulan pertama 2021 walaupun dalam persekitaran pandemik COVID-19.

"Bagi tempoh berbaki tahun ini, potensi bagi Malaysia dan Austria meningkatkan perdagangan dua hala adalah cerah, terutamanya bagi sektor yang dapat memacu kedudukan Malaysia dalam industri digital serta berteknologi tinggi," katanya.

-- BERNAMA