KUALA LUMPUR:Kelayakan fasiliti i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diharap dapat diperluas kepada golongan pencarum yang mengalami pemotongan gaji sekurang-kurangnya 25 peratus, kata bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika membahas Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, golongan itu juga antara yang terjejas teruk, walaupun mereka masih mempunyai sumber pendapatan.

“Saya dapati bahawa yang layak untuk fasiliti i-Sinar ini adalah ahli-ahli KWSP yang kehilangan pekerjaan, yang diberi cuti tanpa gaji dan yang tiada sumber pendapatan yang lain.

“Untuk penambahbaikan, saya ingin cadangkan fasiliti ini juga ditawarkan kepada ahli-ahli KWSP yang pendapatan mereka dipotong sekurang-kurangnya 25 peratus,” katanya lagi.

BACA: i-Sinar: Skop pengeluaran Akaun 1 KWSP diperluas, manfaatkan 2 juta ahli terkesan akibat COVID-19



Dr Wan Azizah berkata proses permohonan pengeluaran wang KWSP juga perlu dipermudahkan, bagi memastikan rakyat boleh memperolehi sumber kewangan tambahan dengan lebih pantas.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar elaun dan yuran Pengerusi GLC, GLIC yang dijawat Ahli-ahli Parlimen, dapat dikurangkan sebanyak 50 peratus.

Beliau berkata, dana yang diperolehi daripada pemotongan tersebut boleh disalurkan sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada Tabung COVID-19.

Dr Wan Azizah juga menggesa Kerajaan Persekutuan untuk menunjukkan sifat kepimpinan yang tinggi dengan bersetuju terhadap idea pemotongan gaji mereka.

“Dalam masa yang sama, negara juga memerlukan kepimpinan melalui teladan atau, dengan izin, “leadership by example”, dalam hal ini, dan saya cadangkan potongan sebanyak 10 peratus ke atas gaji
Perdana Menteri, Menteri Kanan, Menteri, dan Timbalan Menteri sehingga akhir tahun 2021,” katanya lagi.

“Peruntukan bagi setiap Pusat Khidmat Rakyat Parlimen, perlu diberikan sama rata dan secara terus, tidak kira sama ada Ahli Parlimen itu dari blok kerajaan mahupun dari blok pembangkang,” katanya lagi.

Beliau berkata, jika dana operasi pejabat dan dana komuniti Pusat Khidmat Rakyat Parlimen diberi sama rata kepada semua ahli parlimen, beliau pasti semua ahli parlimen pembangkang setuju untuk elaun bulanan kami dipotong 10% untuk disalurkan ke Tabung COVID-19.