KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang menyatakan kekecewaan dengan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak memberi peruntukan secara adil kepada mereka.

Tindakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, itu disifatkan sebagai membalas dendam dan hak Ahli Parlimen pembangkang untuk mendapatkan peruntukan yang sama rata dinafikan.

Namun, mereka menegaskan akan terus menjadi semak dan imbang kepada kerajaan dalam memastikan kesaksamaan dalam pentadbiran negara.


Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, melihat pada pembentangan Belanjawan 2023, pembangkang dalam keadaan 'tertekan'.

"Dalam keadaan ini, kami tertekan kerana tidak ada peruntukan. Peruntukan ini bukan kami minta duit siapa-siapa, kami minta duit rakyat ahli Parlimen tidak dibeza-bezakan.

"Kerajaan sekarang ini adalah kerajaan MADANI -- MADANI istilahnya keadilan, namun nampaknya kami tak dapat keadilan.

"Kami pihak pembangkang kecewa. Kata rakyat tidak akan dibezakan, tapi negara ahli Parlimen perlu dibezakan. Pendekatan untuk membalas dendam ini tidak wajar dibuat," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Parlimen di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Akmal turut berkongsi pandangan yang sama.

Menurutnya, pengagihan Belanjawan 2023 tidak memberi penekanan kepada keadilan sumber pendapatan negara kepada negeri-negeri pimpinan pembangkang.

"Sepatutnya, seorang sosok seorang reformis yang telah berpuluh tahun melaungkan keadilan, kesaksamaan malah berjanji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) bahawa peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen merentasi parti, malangnya perkara ini tidak diendahkan beliau (Anwar) dalam pembentangan sebentar tadi.

Belanjawan 2023 memperuntukkan RM388.1 bilion - PM

"Sedangkan bajet sebesar zaman Datuk Seri Ismail Sabri (Yaakob) pun yang banyak 'gula-gula' itu orang Melayu tolak ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), apatah lagi ini? soalnya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) pula Ahmad Fadhli Shaari memberitahu, beliau memberikan 'penilaian' atau rating lima daripada 10 bintang terhadap Belanjawan 2023 yang dibentangkan itu.

Katanya, ia berikutan belanjawan  yang dibentangkan itu bersifat ' menjaga hati'.

Mengambil contoh kesungguhan Ahli Parlimen Tambun itu untuk memerangi rasuah, namun isu besar seperti 1Malaysia Development  Berhad (1MDB) tidak disentuh dalam pembentangan berkenaan.

"Perdana Menteri tidak menyebut satu patah pun tentang 1MDB yang merupakan kepala kepada ketirisan yang berlaku (dalam negara).

"Saya fikir Perdana Menteri masih lagi cuba berdolak-dalik dalam isu penyelewengan dan rasuah," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada pembangkang akan menyokong atau sebaliknya belanjawan berkenaan, Ahmad Fadhli yang Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keputusan mengenainya akan diputuskan minggu depan.

"Kami ahli Parlimen pembangkang akan bincang sesama kita dan akan nyatakan pendirian minggu depan," katanya.