JOHOR BAHRU: Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan segala insentif diberikan kepada Johor menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, akan terus menjadi tunjang utama dalam pembangunan negeri itu.

Beliau berkata insentif itu membuktikan Kerajaan Persekutuan telah mengambil kira aspek dan juga projek pembangunan yang diperlukan negeri.

Menurutnya intipati yang diperuntukkan kepada Johor dalam belanjawan itu merupakan antara keperluan asas rakyat seperti infrastruktur jalan, kesihatan, pendidikan, kemudahan asas dan peningkatan ekonomi.

"Semoga segala perancangan dan usaha ini berjalan dengan lancar serta dapat memberikan manfaat terbaik kepada Bangsa Johor, seiring dengan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

"Nantikan juga amanat saya dalam Belanjawan Johor 2024 tidak lama lagi, yang akan turut meletakkan kepentingan Bangsa Johor sebagai intipati utamanya, insya-Allah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Antara insentif untuk Johor yang diumumkan menerusi pembentangan belanjawan itu semalam adalah pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2) di sini dan projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam dengan kos RM931 juta.

Selain itu pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta, dan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (Al) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta.

Insentif lain adalah seperti melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H); dan juga Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) dijadikan hab pembangunan sektor kimia dan petrokimia dengan pemberian pakej galakan cukai dalam bentuk kadar cukai khas atau elaun cukai pelaburan.

Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2024 sebesar RM393.8 bilion yang memfokuskan tiga tumpuan utama, iaitu tata kelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.

Onn Hafiz dijadual membentangkan Belanjawan Johor 2024 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, bulan depan.

-- BERNAMA