Belanjawan 2026: Potongan cukai tambahan 50 peratus untuk PMKS jalani latihan berkaitan AI

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan ini sebagai persediaan Malaysia menuju status negara kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM5.9 bilion rentas kementerian disediakan kerajaan bagi aktiviti penyelidikan pembangunan, komersial dan daya cipta (RDCI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini sebagai persediaan Malaysia menuju status negara kecerdasan buatan (AI) menjelang tahun 2030.
"Potongan cukai tambahan 50 peratus diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi perbelanjaan kos latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf MyMahir National AI Council for Industry (NAICI).
"Seterusnya Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) menerima hampir 20 juta ringgit untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi, memperkukuh infrastruktur digital dan mencipta ekosistem AI yang cekap," ujar Anwar.Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan 2026 di Parlimen pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia meraih pelaburan bidang AI dan pusat data daripada syarikat gergasi teknologi dunia seperti Microsoft, Google dan Amazon Web Service (AWS).
"Peruntukan 2.2 dolar Amerika Syarikat (RM10.34 billion) oleh Microsoft untuk membangun Wilayah Awan Malaysia Barat dan dua bilion dolar Amerika Syarikat (RM19.74 bilion) untuk membina pusat data serta wilayah Google Cloud yang baharu di Selangor.
"Microsoft melatih 800 ribu rakyat melalui program AI for Malaysia's Future serta menubuhkan Pusat Inovasi AI Kebangsaan Microsoft. Google menganjurkan [email protected] kepada penjawat awam. Sementara AWS menyokong pendigitalan PKS melalui pembelajaran mesin dan analitik data raya," katanya.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami