Ringkasan AI
- Parti Demokrat memenangi sekurang-kurangnya 258 kerusi Dewan Perwakilan, pencapaian tertinggi sejak 1992 dalam pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat.
- Kemenangan di North Carolina menewaskan penyandang Republikan, Virginia Foxx, mencerminkan perubahan landskap politik di beberapa negeri utama.
- Demokrat kini menguasai kedua-dua dewan Kongres, memberi mereka kedudukan lebih kukuh untuk mempengaruhi proses perundangan negara.
WASHINGTON: Parti Demokrat mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat (AS) selepas menguasai sekurang-kurangnya 258 kerusi di Dewan Perwakilan, jumlah tertinggi yang dicapai parti itu sejak 1992.
Berdasarkan laporan Al Jazeera, kerusi ke-258 berjaya diraih selepas keputusan rasmi bagi daerah Kongres ke-5 di North Carolina disahkan susulan proses kiraan semula undi.
Dalam pertandingan sengit itu, calon Demokrat, Chuck Hubbard, menewaskan penyandang Republikan, Virginia Foxx, yang telah berkhidmat selama 11 penggal di Kongres AS.
Menurut laporan Associated Press yang dipetik Al Jazeera, hanya sekitar 330 undi memisahkan kedua-dua calon sebelum kemenangan Hubbard disahkan pada Ahad.
Keputusan itu dilihat mencerminkan perubahan landskap politik yang lebih luas di North Carolina dan beberapa negeri lain apabila kubu kuat Republikan yang bertahan selama bertahun-tahun beralih kepada Demokrat.
Foxx pertama kali dipilih sebagai anggota Kongres pada 2004 dan sebelum ini pernah mempengerusikan Jawatankuasa Peraturan Dewan Perwakilan.
Setakat ini, empat lagi kerusi Dewan Perwakilan masih belum diputuskan, sekali gus membuka peluang kepada Demokrat untuk menambah lagi majoriti mereka dalam dewan yang mempunyai 435 kerusi itu.
Parti tersebut dilaporkan menambah kira-kira 47 kerusi berbanding Kongres terdahulu, yang menyaksikan Demokrat hanya memegang 214 kerusi.
Kejayaan Demokrat tidak terhad kepada Dewan Perwakilan. Dalam Kongres ke-120 yang akan mengangkat sumpah pada 3 Januari depan, parti itu turut menguasai 56 kerusi Senat, majoriti terbesar dalam lebih sedekad.
Penguasaan kedua-dua dewan memberi Demokrat kedudukan yang lebih kukuh untuk mempengaruhi proses perundangan negara. Namun, Presiden Donald Trump daripada Parti Republikan telah berikrar untuk menggunakan kuasa veto terhadap rang undang-undang yang tidak dipersetujuinya.
Penganalisis politik berpandangan prestasi buruk Republikan dalam pilihan raya kali ini didorong oleh ketidakpuasan hati pengundi terhadap kos sara hidup yang meningkat, konflik melibatkan AS, Israel dan Iran, isu rasuah serta operasi penguatkuasaan imigresen.
Pilihan raya separuh penggal itu juga dilihat sebagai penilaian rakyat terhadap penggal kedua pentadbiran Trump yang bermula pada 2025.
Menurut tinjauan Reuters/Ipsos pada November, kadar kelulusan terhadap prestasi Trump berada pada 32 peratus, antara yang terendah bagi seorang presiden AS dalam tempoh moden.
Demokrat pula menyifatkan kemenangan besar itu sebagai peluang penting untuk menentukan hala tuju dua tahun terakhir pentadbiran Trump.
Anggota Dewan Perwakilan dari New York, Alexandria Ocasio-Cortez, yang berjaya mempertahankan kerusinya, menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai "mandat untuk perubahan".
"Kami sedang menyaksikan antara gelombang kemenangan terbesar bagi generasi ini," katanya di Bangunan Capitol AS, seperti dipetik Al Jazeera.
Majoriti 258 kerusi yang dicapai Demokrat kini menyamai pencapaian parti itu ketika Bill Clinton dipilih sebagai presiden pada 1992, sekali gus menjadikannya antara keputusan terbaik dalam sejarah moden parti berkenaan.