Ringkasan AI
- Dua kapal tangki minyak terbakar berhampiran Selat Hormuz selepas dipercayai melanggar periuk api laut di kawasan larangan Iran.
- Tentera laut Iran mendakwa kapal tidak mematuhi arahan keselamatan, manakala insiden serangan objek tidak dikenal pasti turut dilaporkan berhampiran Oman.
- Insiden di Selat Hormuz meningkat, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan laluan tenaga penting dan kestabilan bekalan minyak dunia.
TEHRAN: Dua lagi kapal tangki minyak dilaporkan terbakar berhampiran Selat Hormuz selepas dipercayai melanggar periuk api laut, ketika ketegangan di laluan perkapalan strategik itu terus meningkat susulan konflik melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Media Iran melaporkan kedua-dua kapal itu terbakar di perairan timur Selat Hormuz, manakala tentera laut negara itu mendakwa kapal berkenaan memasuki kawasan larangan yang ditetapkan pihak berkuasa Iran.
Menurut laporan Al Jazeera yang memetik media tempatan Iran, insiden terbaharu itu berlaku ketika Tehran memperketat kawalan ke atas pergerakan kapal di selat berkenaan, yang sebelum konflik semasa mengendalikan hampir satu perlima bekalan minyak mentah dunia.
Tentera laut Iran mendakwa kapal terlibat tidak mematuhi arahan keselamatan dan melalui kawasan berbahaya di timur Selat Hormuz sebelum melanggar periuk api laut. Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi pemantauan perkapalan Britain, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), melaporkan dua insiden berasingan melibatkan kapal tangki yang diserang objek tidak dikenal pasti berhampiran perairan Oman. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Pemerhati Al Jazeera di Tehran, Resul Serdar, berkata jumlah insiden melibatkan kapal di Selat Hormuz meningkat secara mendadak dalam tempoh seminggu kebelakangan ini.
Beliau berkata pihak berkuasa Iran menegaskan semua kapal yang melalui laluan itu perlu berkoordinasi dengan Tehran dan menggunakan laluan yang ditetapkan.
Katanya, Iran mahu menunjukkan bahawa negara itu masih menguasai laluan perairan strategik berkenaan dan memberi isyarat bahawa sekiranya eksport minyak Iran terjejas akibat sekatan atau konflik, negara lain juga berdepan risiko gangguan penghantaran tenaga.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia, menghubungkan Teluk Arab dengan pasaran global.
Sebarang gangguan keselamatan di kawasan itu sering mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dan kestabilan harga minyak dunia.