KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengemukakan 14 cadangan inisiatif bagi Belanjawan 2027 yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat menerusi pemerkasaan prasarana awam, mitigasi banjir, keselamatan komuniti serta akses kepada perumahan.
Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata cadangan itu dirangka secara komprehensif bagi memastikan setiap dasar dan peruntukan fiskal yang disalurkan kerajaan memberikan impak nyata kepada rakyat selaras dengan aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan negara serta menyejahterakan rakyat.
"Antara bidang khusus ialah infrastruktur dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pengurusan bencana, keselamatan awam, kelestarian serta percukaian," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata bagi aspek infrastruktur dan PBT, KPKT mencadangkan langkah menaik taraf prasarana awam termasuk pasar tempatan dan medan selera selain memantapkan perkhidmatan PBT.
Dalam pengurusan bencana pula, kementerian memberi penekanan terhadap penambahbaikan sistem perparitan di kawasan berisiko tinggi atau hotspot banjir supaya menjadi zon bebas banjir.
Bagi keselamatan awam, cadangan meliputi langkah pencegahan kebakaran, peningkatan piawaian keselamatan prasarana kediaman dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan.
Nga berkata KPKT turut meneliti langkah berkaitan insentif percukaian perumahan, pembangunan bandar yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan kempen pemilikan rumah bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman.
"KPKT sentiasa komited dan cakna untuk memastikan setiap cadangan berdaya laksana, telus dan berpaksikan keperluan hakiki masyarakat demi menyokong agenda pembangunan mampan negara," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang menjayakan sesi dialog Belanjawan 2027 dan berharap cadangan KPKT mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kementerian Kewangan.
Sementara itu, KPKT dalam kenyataan memaklumkan sesi tersebut ialah sebahagian daripada proses penyediaan Belanjawan 2027 bagi memastikan setiap cadangan dinilai secara menyeluruh dari segi keutamaan, keberkesanan pelaksanaan dan impaknya kepada rakyat.
Turut hadir Timbalan Menteri KPKT Datuk Aiman Athirah Sabu, Ketua Setiausaha KPKT Datuk Dr M. Noor Azman Taib dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican selain para pegawai kanan KPKT dan Kementerian Kewangan serta Pasukan Belanjawan 2027.
Menurut KPKT, sesi itu memberi tumpuan utama kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memodenkan kualiti persekitaran bandar.
Antara keutamaan yang diteliti ialah perancangan lalu lintas lebih lancar, mitigasi banjir, penambahbaikan fasiliti setempat serta projek baik pulih perumahan strata kos rendah dan sederhana rendah.
Perbincangan turut merangkumi peluasan konsep Bandar Pintar MADANI melalui penggunaan teknologi pemantauan masa nyata, pembangunan ruang rekreasi awam berkualiti serta inisiatif sokongan ekonomi belia dan dana pembiayaan komuniti.
Menurut KPKT, dasar percukaian mesra alam turut disepadukan dalam cadangan berkenaan bagi menyokong pembangunan sosioekonomi yang lebih saksama dan memperkukuh daya tahan bandar dalam mendepani cabaran perubahan iklim.
“Kerajaan MADANI komited membina persekitaran bandar yang lebih selamat, inklusif dan mampan untuk kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA