KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said sebagai kehilangan besar buat negara, selain mengagumi ketekunan Allahyarham berkarya serta mengirim bahan bacaan sejak zaman beliau berada di Sungai Buloh.
Bercakap kepada media selepas menziarahi jenazah di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar pada Selasa malam, Anwar menyifatkan Pak Samad sebagai sahabat setia, pencinta seni dan sastera serta pendidik bangsa yang puisinya sudah masyhur sejak 1955.
"Saya tentunya pernah ke hadapan dia, kenal dia sahabat setia, saya ingat sepanjang saya di Sungai Buloh tu semua karya-karya dia dia pastikan dia kirim kepada saya," katanya ketika ditemui pada Selasa malam.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham serta menegaskan, negara perlu memikirkan usaha mengangkat martabat tokoh besar Sasterawan Negara.
"Negara tentunya kehilangan seorang tokoh besar, Sasterawan Negara dan kita tentunya harus memikirkan bagaimana untuk menaikkan status tokoh besar Sasterawan Negara ini dan saya ambil kesempatan ucap takziah pada isteri dan juga keluarga atas kehilangan dan kita mendoakan yang terbaik," tegas beliau.
Menjawab pertanyaan mengenai pesanan Allahyarham yang boleh dijadikan inspirasi generasi muda, Anwar berkata hubungan persahabatan serta perutusan surat mereka berterusan sejak 1998.
"Pak Samad ini ya tentunya lebih ramai rakan-rakan wartawan yang lebih arif tapi saya nak kata sering itu tetapi memang sentiasa kalau di Sungai Buloh itu pun memang berutus surat sebelum sejak 1998 dia tahu pendirian dia," jelasnya.
Menurut Perdana Menteri, Pak Samad gigih mempertahankan kecintaan terhadap bahasa dan sastera serta menolak tanggapan bahawa bidang sastera sekadar cabang khusus yang terpisah daripada pembinaan masyarakat.
"Dan sesudah itu dalam majlis dan dia gigih mempertahankan kecintaannya terhadap bahasa, sastera dan menganggap bahawa sastera itu mesti dikuasai tidak seperti mana setengah anggapan bahawa sastera itu satu bidang yang khusus tidak. Kehidupan bangsa dan pembinaan tamadun itu harus bersandarkan juga kepada kekuatan sastera," ujarnya.
Anwar turut berkongsi pengalaman peribadi melihat sendiri ketekunan Allahyarham membaca serta membuat catatan pada setiap buku di kediamannya.
"Kalau dari segi pembacaan saya belum jumpa seorang yang begitu gigih membaca seperti mana Sasterawan Negara A. Samad Said," katanya kepada media selepas ziarah tersebut.
Beliau menambah, usaha Allahyarham menekuni karya sastera dari seluruh dunia menjadikan kemahiran serta penguasaan ilmu tersebut sukar digantikan.
"Saya melihat sendiri tiap buku dia baca di rumah dia tadi catatan-catatan tiap buku yang kita sebut ni kita belum dapat dia tu ambil sastera dari satu dunia dia cuba kuasai. Saya tidak fikir mudah untuk mengganti kemahiran penguasaan ilmu terutama sastera," tegas beliau.