KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sarawak mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama politik dan persefahaman bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan.
Keputusan itu dimuktamadkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak menerusi kenyataan media bertarikh 24 November, hanya empat hari sebelum penamaan calon.
Menurut kenyataan itu, pendirian berkenaan dibuat bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, selain memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.
“Pertimbangan utama yang mendasari pendirian ini adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat, dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan, memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi, dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian,” katanya.
Pada masa sama, MPN KEADILAN Sarawak mengarahkan seluruh jentera dan pimpinan parti di semua peringkat di negeri Sarawak agar mematuhi dan menghormati ketetapan ini serta terus menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan khususnya GPS.
“KEADILAN Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” katanya lagi.
Keputusan KEADILAN Sarawak tidak menyertai PRN kali ini sekali gus mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kali pertama parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya negeri sejak mula bertapak di Sarawak pada 1999.
Untuk rekod, KEADILAN pernah menyertai lima PRN Sarawak sebelum ini, bermula pada 2001, diikuti 2006, 2011, 2016 dan 2021.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) turut menyatakan pendirian untuk tidak meletakkan calon pada PRN-13, selaras dengan semangat kerjasama dan kestabilan politik.