Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Pengumuman 'saat akhir', PM umum Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam, pesara

Anwar menegaskan peranan barisan hadapan pentadbiran negara sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan. - Gambar JaPen
Anwar menegaskan peranan barisan hadapan pentadbiran negara sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan. - Gambar JaPen

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seperti menjadi kelaziman yang dinanti-nantikan warga perkhidmatan awam, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minit-minit terakhir pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam.

Bantuan khas itu membabitkan kakitangan awam Persekutuan Gred Utama B dan ke bawah, termasuk mereka yang berstatus lantikan kontrak, sebagai mengenang jasa dan khidmat bakti kepada negara.

Anwar menegaskan peranan barisan hadapan pentadbiran negara sentiasa menjadi tulang belakang kepada kejayaan dasar-dasar kerajaan.

"Penghargaan setulusnya kepada 1.6 juta penjawat awam, atas jasa bakti dalam melunas amanah Berkhidmat Untuk Negara. Mereka penggerak tekad MADANI untuk mengangkat martabat, darjat dan harakat negara ini ke mercu jaya," kata beliau ketika berucap di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tidak melupakan kebajikan warga emas sektor awam, pengumuman 'hadiah' di penghujung ucapan itu turut dipanjangkan kepada pesara kerajaan dengan bayaran sebanyak RM750 membabitkan lebih satu juta penerima, merangkumi veteran berpencen serta tidak berpencen.

Penyaluran Bantuan Khas Kewangan berkenaan akan dilaksanakan menerusi dua kali pembayaran.

Fasa pertama akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, manakala bayaran fasa kedua pula akan diselaraskan sempena ambang sambutan tujuh dasawarsa kemerdekaan negara (Merdeka ke-70).

Pengumuman saat akhir itu melengkapkan pakej menyeluruh kesejahteraan sektor awam dalam Belanjawan 2027, selepas kerajaan terdahulu mengumumkan kenaikan kadar lantai pencen terendah kepada RM1,350 sebulan, peruntukan baik pulih kuarters RM2.3 bilion, dan tempoh cuti bersalin maksimum sehingga 98 hari.

Must Watch Video

Advertisement