Skip to main content

Malaysia

Renjat ayam hingga mati: Syarikat pembekal, dua pengarah, pengurus, pekerja didakwa isu halal

Zafirah (dua, kanan), Tanjena Akter dan Abdul Rahim hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian
Zafirah (dua, kanan), Tanjena Akter dan Abdul Rahim hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian
Advertisement

SHAH ALAM: Sebuah syarikat pembekalan penyembelihan ayam, dua pengarah, seorang pengurus dan seorang pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membekalkan 6,555 kilogram (kg) ayam dengan memperdayakan orang ramai bahawa produk berkenaan halal, selain bersubahat dalam kesalahan itu bulan lalu.

Syarikat Ayam Segar BM (M) Sdn Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu menerusi wakilnya, pengarah syarikat berkenaan, Zafirah Karim, 36, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, 'Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid.

Turut mengaku tidak bersalah ialah Zafirah, Tanjena Akter Mollah, 35, pengurusnya, Hossain Saddam, 34 dan pekerja syarikat, Abdul Rahim Ariff Ali, 34.

Advertisement

Mengikut pertuduhan isu halal, Zafirah, Tanjena Akter dan Hossain didakwa membekalkan ayam yang telah disembelih dan diproses dengan membuat representasi yang boleh memperdayakan mana-mana orang bahawa makanan berkenaan halal atau boleh dimakan oleh orang Islam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Jurutera, Kampung Sri Aman Hilir, Puchong di sini jam 12.45 tengah malam pada 30 Oktober.

Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut subperenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah subperenggan 5(a) perintah sama.

Jika sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, hukuman denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pengarah dan pengurus itu, mereka didakwa di bawah subperenggan sama yang boleh dihukum bawah subperenggan 5 (b) perintah serupa, membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta atau boleh dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian

BERITA LANJUT MENYUSUL

 

Must Watch Video

Advertisement