Skip to main content

Malaysia

Dinding Gua Tempurung diconteng, PKNPk, UTP laksana inisiatif pemuliharaan

Foto PKNPk
Foto PKNPk

Ringkasan AI

  • PKNPk dan UTP melaksanakan inisiatif pemuliharaan Gua Tempurung selepas insiden vandalisme yang menjejaskan keindahan formasi batu kapur gua tersebut.
  • Kerja pemuliharaan melibatkan penggunaan tanah liat putih atau kaolin untuk menutup kesan contengan, dengan penyertaan pelajar Geologi UTP, pensyarah dan renjer gua.
  • Program ini turut menekankan kepentingan pencegahan dan kesedaran pengunjung bagi memastikan keunikan Gua Tempurung terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Advertisement

IPOH: Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) melaksanakan inisiatif pemuliharaan Gua Tempurung susulan perbuatan menconteng dinding gua itu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjejaskan keindahan semula jadi formasi batu kapurnya.

PKNPk dalam kenyataan memaklumkan kerja pemuliharaan bagi menutup kesan vandalisme di lima platform dan sepanjang laluan gua itu menggunakan tanah liat putih atau kaolin sebagai bahan sapuan pada permukaan dinding yang diconteng kerana kesesuaian warnanya yang hampir sama dengan permukaan gua berbanding tanah liat seramik yang lazimnya berwarna coklat atau gelap.  

Sebanyak 30 peserta terdiri daripada pelajar jurusan Geologi UTP, pensyarah dan renjer Gua Tempurung terlibat dalam program berkenaan yang diadakan pada 21 Nov lepas dan mereka dibahagikan kepada lima kumpulan untuk melaksanakan kerja-kerja sapuan pada kawasan yang dikenal pasti mempunyai kesan vandalisme.

Advertisement

"Bagi menghasilkan sapuan yang sekata, tanah liat yang digunakan perlu bebas daripada campuran pasir dan hanya dibancuh menggunakan air paip atau air sungai.

"Proses sapuan dilakukan sebanyak dua hingga tiga lapisan, bergantung pada kedalaman dan kejelasan contengan pada permukaan dinding. Setiap kawasan yang terjejas dianggarkan memerlukan hingga tiga tong tanah liat berkapasiti lima liter," menurut kenyataan itu, hari ini.

Advertisement

PKNPk memaklumkan bahawa penglibatan pelajar Geologi UTP turut memberikan nilai tambah kepada program melalui pendedahan secara langsung terhadap aspek pemuliharaan persekitaran gua, sekali gus pendekatan itu membolehkan pengetahuan akademik diterapkan dalam aktiviti lapangan, selain memberikan pengalaman praktikal kepada pelajar tentang usaha menjaga formasi alam semula jadi.

"Walaupun kerja-kerja sapuan dapat membantu menutup kesan contengan, usaha pemuliharaan tidak boleh bergantung pada tindakan memulihkan kawasan yang telah terjejas semata-mata.

"Pencegahan dan kesedaran pengunjung perlu diberi perhatian bagi mengelakkan perbuatan vandalisme daripada berulang. Setiap pengunjung mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi peraturan dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh merosakkan permukaan dinding atau persekitaran gua," menurut kenyataan itu.

Program pemuliharaan tersebut mendapat sokongan Majuperak Holdings Berhad (MHB) dan APT Konsortium Sdn Bhd sebagai rakan kerjasama, seterusnya menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030. 

Gua Tempurung adalah antara khazanah alam semula jadi dan tarikan pelancongan penting di Perak dengan keunikan formasi batu kapur yang terbentuk melalui proses geologi dalam tempoh yang panjang dan kerana itu, perbuatan menconteng atau mengukir permukaan dinding bukan sahaja mencacatkan penampilan gua, malah turut menjejaskan keaslian persekitarannya.

PKNPk memaklumkan pemuliharaan Gua Tempurung bukan sahaja penting untuk mengekalkan keaslian khazanah alam semula jadi, tetapi juga sebahagian daripada usaha memperluas program tanggungjawab sosial korporat yang memberikan tumpuan kepada pemeliharaan alam sekitar, pendidikan dan penglibatan komuniti. 

Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan untuk memastikan keunikan Gua Tempurung terus terpelihara dan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement