Skip to main content

Malaysia

Jemput pemimpin junta demi kepentingan negara, bukan kompromi prinsip - PM Anwar

Anwar berkata, Malaysia kekal menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), meskipun memilih pendekatan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu berkaitan warga negara itu di Malaysia. - Foto Bernama
Anwar berkata, Malaysia kekal menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), meskipun memilih pendekatan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu berkaitan warga negara itu di Malaysia. - Foto Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keputusan menjemput Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia dibuat atas pertimbangan kepentingan negara, bukan bermakna kerajaan berkompromi terhadap prinsip hak asasi manusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kekal menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), meskipun memilih pendekatan rundingan dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu berkaitan warga negara itu di Malaysia.

“Dalam memutuskan dasar, keutamaannya ialah memelihara kepentingan negara.

Advertisement

“Apakah dengan mengundang Presiden Myanmar ke Malaysia itu membantu menyelesaikan masalah negara? Jawabnya, ya. 

"Kerana tidak berkesudahan mengharapkan negara ketiga (penempatan semula) dan mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Advertisement

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang) adakah Malaysia berasa bersalah kerana telah menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar ke Malaysia apabila pada 19 November 2026 Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda memutuskan Pasukan Keselamatan Myanmar membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya.

Jelas Anwar, pendekatan rundingan itu membuahkan hasil apabila seramai 10,476 warga Myanmar telah dibawa pulang ke negara asal mereka setakat ini, dengan kos ditanggung kerajaan Myanmar.

Menurutnya, sebahagian besar penghantaran pulang dilakukan menggunakan pesawat, manakala 1,476 individu dibawa pulang menggunakan kapal perang Myanmar pada 29 September lalu.

Beliau berkata, kerajaan turut memperoleh jaminan safe and dignified return atau kepulangan yang selamat dan bermaruah menerusi rundingan berkenaan.

“Jadi kita runding dan atas rundingan itu kita telah berjaya selari dengan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa iaitu menjamin safe and dignified return. Itu istilah penghakiman Mahkamah ICJ.

“Apakah kita jamin? Jawabnya kita dapat jaminan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata Kementerian Luar Negeri telah meluluskan penggunaan tiga kapal Tentera Laut Myanmar bagi membawa pulang 1,500 lagi warga negara itu pada 6 dan 7 Disember ini.

Selain itu, seramai 5,303 warga Myanmar dijadual dibawa pulang menerusi penerbangan sepanjang Disember, dengan kos ditanggung kerajaan Myanmar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama dengan kerajaan Myanmar itu tidak bermakna Malaysia mengetepikan prinsip, bantahan dan pendirian negara terhadap krisis kemanusiaan di Myanmar.

Sebaliknya, Malaysia kekal berpegang kepada Konsensus Lima Perkara (Five-Point Consensus) ASEAN selain terus menyuarakan keprihatinan terhadap penganiayaan kumpulan etnik di negara itu, termasuk Rohingya.

Must Watch Video

Advertisement