Skip to main content

Malaysia

Tiada layanan dua darjat dalam siasatan isu berkaitan 3R - PM Anwar

Perdana Menteri ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan - Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri ketika menjawab soalan pada sesi Pertanyaan - Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada layanan dua darjat dalam siasatan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R) oleh pihak berkuasa.
  • Siasatan dilakukan secara telus tanpa mengira latar belakang kaum, agama atau pengaruh politik, dan semua pihak boleh disiasat jika ada laporan polis.
  • Anwar tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka mengenai premis waktu solat Jumaat dan menyerahkan kepada siasatan PDRM.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiada layanan bersifat dua darjat dalam siasatan pihak berkuasa berkaitan laporan terhadap mana-mana pihak yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata siasatan yang dibuat bersifat telus tanpa mengambil kira latar belakang kaum mahupun agama pihak terlibat, selain bebas daripada sebarang pengaruh politik.

“Kalau nak kata ada dua darjat saya tidak bersetuju. Siapa yang menghalang tindakan? Tindakan mana kepada pihak pembangkang yang segera? Saya meneliti kes-kes yang dibawa termasuk pimpinan parti pembangkang, banyak. Tetapi tidak semua berakhir dengan (pendakwaan), cuma siasatan.

Advertisement

“Kadang-kadang sekadar polis siasat pun seolah-olah penderaan besar. Ada laporan polis, jadi polis siasat. Dalam sistem kita, tiada sesiapa yang terkecuali untuk disiasat kalau ada laporan polis,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai dakwaan kononnya berlaku layanan berbeza terhadap sebarang laporan yang dikemukakan atau melibatkan pimpinan kerajaan dan blok pembangkang.

Advertisement

Menjawab soalan asal Rosol berkaitan pendirian kerajaan terhadap keperluan memastikan isu 3R tidak dipolitikkan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat, Anwar berkata kerajaan sentiasa menjadikan keutuhan dan keharmonian hubungan antara kaum di Malaysia sebagai keutamaan.

“Jadi saya hanya boleh menyatakan di sini, siasatan harus telus kerana kadang-kadang kita lihat (isu itu) dari segi polemik kepartian, politik, atau polemik kaum.

“Kalau ada beberapa kelewatan (siasatan) boleh bangkit di sini, boleh suarakan dan bantah, tapi saya setuju integriti harus dikekalkan tanpa mengira mana-mana kaum atau agama, kerana kalau kita betul jaga keharmonian, jangan izinkan penghinaan ke atas mana-mana agama, baru boleh negara ini selamat,” katanya.

Mengulas isu 3R yang melibatkan kenyataan kontroversi Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkaitan arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat, Anwar berkata beliau sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan Ahli Parlimen Kota Melaka itu.

“Kenyataan Ahli Parlimen (Kota Melaka), saya tidak bersetuju. Itu jelas. Walaupun kini beliau dah minta maaf, itu saya serah pada siasatan dan keputusan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya.

Pada sesi sama, Anwar memaklumkan isu berkaitan 3R sentiasa menjadi perhatian dan agenda khas dalam setiap Mesyuarat Majlis Raja-Raja bagi memastikan prinsip Raja Berperlembagaan terus dihormati serta keharmonian antara kaum dan agama sentiasa terpelihara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement