Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) mengumumkan pelaksanaan rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan sebagai sebahagian dari usaha menggalakkan penggunaan ringgit dan baht dalam perdagangan.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata pelaksanaan ini akan membolehkan urus niaga dalam mata wang tempatan dan transaksi perdagangan dilakukan dengan efisyen dan cekap.

"Sejak 15 tahun lalu, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia-Thailand mencatat rekod tertinggi pada RM86 bilion manakala pelaburan dicatatkan setakat 2015 adalah sebanyak RM1.4 billion ringgit.

"Bagaimanapun, penyelesaian dalam mata wang tempatan (ringgit dan baht) adalah sembilan peratus sahaja," ujar Zeti pada sidang media rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan oleh BNM dan BOT di ibu negara pada Isnin.

Tambahnya, di bawah rangka kerja ini BNM dan BOT akan melantik bank-bank di Malaysia dan Thailand yang diberi kebolehan pertukaran asing untuk memudahkan penyelesaian dalam ringgit dan baht.

Ketika ini, enam bank yang dilantik bagi mendokong pelaksanaan ini adalah Bangkok Bank Bhd, CIMB Bank Berhad dan Malayan Banking Bhd (Maybank).

Di Thailand bank yang terlibat termasuk Bangkok Bank Public Co Limited, CIMB Thai dan Kasikornbank Public Co Limited.

Manfaat ini akan dinikmati para peniaga Malaysia dan Thailand yang menjalankan urusan import dan eksport barangan dan perkhidmatan.



Soalan lazim berkaitan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan BNM-BOT

1) Apa yang dimaksudkan dengan Rangka Kerja Penyelesaian Perdagangan Mata Wang Tempatan BNM-BOT dan apakah objektifnya?

• Rangka Kerja Penyelesaian Perdagangan Mata Wang Tempatan BNM-BOT (rangka kerja) adalah pengaturan dua hala antara Thailand dan Malaysia bagi menggalakkan penggunaan mata wang tempatan iaitu ringgit dan baht untuk penyelesaian perdagangan barangan dan perkhidmatan antara Malaysia dan Thailand.

• Di bawah rangka kerja ini, BNM dan BOT melantik bank-bank di Malaysia dan Thailand yang diberi kefleksibelan pertukaran asing untuk memudahkan penyelesaian dalam ringgit dan baht.

2) Siapakah yang mendapat manfaat daripada rangka kerja penyelesaian perdagangan mata wang tempatan?

• Para perniaga di Malaysia dan Thailand yang menjalankan urusan import dan eksport barangan dan perkhidmatan.

3) Apakah ciri-ciri utama rangka kerja ini?

• Rangka kerja ini membolehkan pengeksport dan pengimport memperoleh baht di Malaysia dan ringgit di Thailand dengan lebih cekap untuk penyelesaian perdagangan dua hala.

• Entiti di Malaysia boleh memperoleh pelbagai perkhidmatan kewangan dalam denominasi baht seperti deposit dan produk lindung nilai daripada bank-bank yang telah dilantik di Malaysia. Entiti di Thailand juga boleh memperoleh pelbagai perkhidmatan kewangan yang sama dalam denominasi ringgit daripada bank-bank yang telah dilantik di Thailand.

4) Pada masa ini, sebagai entiti di Malaysia, saya boleh memperoleh perkhidmatan kewangan berdenominasi baht daripada mana-mana bank di Malaysia untuk penyelesaian perdagangan. Apakah perbezaan di antara pengaturan semasa dan rangka kerja ini?

• Pada masa ini, entiti di Malaysia boleh memperoleh perkhidmatan kewangan dalam denominasi baht daripada mana-mana bank di Malaysia. Dengan adanya rangka kerja baharu ini, penyelesaian transaksi-transaksi perdagangan termasuk lindung nilai dan pembiayaan daripada bank-bank di Malaysia yang dilantik dapat dilaksanakan dengan kos yang lebih cekap.


5) Pada masa ini, sebagai entiti di Thailand, saya boleh menjalankan pembelian dan penjualan ringgit dan juga melindung nilai ringgit dengan mana-mana bank di Thailand bagi penyelesaian perdagangan. Apakah perbezaan di antara pengaturan semasa dan rangka kerja ini?

• Pada masa ini, entiti di Thailand tidak boleh memperoleh pembiayaan dan melaksanakan transaksi deposit dalam ringgit dengan bank-bank di Thailand. Rangka kerja baru ini membolehkan bank-bank di Thailand yang dilantik menawarkan pelbagai pekhidmatan kewangan dalam ringgit termasuk produk lindung nilai, pembiayaan dan deposit.

6) Di manakah entiti-entiti boleh merujuk untuk mendapatkan sebut harga bagi kadar pertukaran ringgit dan baht?

• Bank-bank yang dilantik dikehendaki untuk menyediakan sebut harga terus THB/MYR untuk penjualan dan pembelian pasangan mata wang tersebut dan menyediakan kemudahan pembiayaan perdagangan dan lindung nilai dalam ringgit dan baht. Bank-bank yang dilantik dikehendaki menyediakan sebut harga THB/MYR setiap hari di Reuters (dan sebagai alternatif, di Bloomberg).