Ahli lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia sudah memberi senarai calon pengganti Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kepada kerajaan.

Menurut Zeti, kerajaan akan membuat keputusan sebelum menyerahkan nama calon yang dipilih kepada Yang Di-Pertuan Agong dalam tempoh terdekat.

"Kami telah memberi cadangan dan kerajaan akan mengambil keputusan dan menyerahkan nama tersebut kepada yang Dipertuan Agong. Harap bersabar, nama pengganti bakal diumumkan," ujar Zeti kepada pemberita ketika ditemui di Forum Global Wharton 2016 dekat sini, hari ini.

Namun, nama dua calon yang sering disebut bakal menggantikannya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Gabenor, Datuk Mohamed Ibrahim.

Selain dua individu tersebut, calon lain yang turut tersenarai ialah Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Awang Adek Hussin, Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Timbalan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Zeti mula menerajui Bank Pusat itu sejak 16 tahun lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Bank Negara pada Khamis, Zeti berkata ia merupakan taklimat yang dilakukan bank pusat berkenaan sebelum laporan tahunan.

"Kami selalunya mengadakan taklimat sebelum laporan tahunan. Ia merupakan taklimat selama dua jam, " ujar beliau.

Tambah Zeti, pertemuan dengan Perdana Menteri pada Khamis membangkitkan beberapa perkara termasuk isu polisi, daya tahan ekonomi semasa dan masa hadapan.