Skip to main content

Politik

Anwar gesa rakyat Melaka tolak politik kebencian, pertahan perpaduan

Anwar ketika berucap pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya PH Melaka bagi PRN Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, hari ini. - Gambar Bernama
Anwar ketika berucap pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya PH Melaka bagi PRN Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, hari ini. - Gambar Bernama

Advertisement

MELAKA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Melaka menolak politik kebencian berasaskan kaum dan agama, sebaliknya memperkukuh perpaduan sebagai asas kestabilan serta kemajuan negara.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata sejarah Kesultanan Melayu Melaka dan perjuangan kemerdekaan negara membuktikan bahawa kejayaan besar dapat dicapai melalui kerjasama pelbagai kaum, bukannya perjuangan satu kelompok semata-mata.

“Saya menekankan perkara ini berulang kali kerana ada pihak yang cuba memutarbelitkan sejarah dengan mengatakan bahawa hanya dengan membangkitkan kemenangan satu kaum, negara ini dapat diselamatkan.

"Jika nenek moyang kita berjaya membina Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah empayar yang besar, kita juga mampu melakukannya melalui keamanan, perpaduan semua pihak dan strategi pembangunan yang baik,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya PH Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha DAP Anthony Loke, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Datuk Seri Amirudin Shari serta Pengerusi PH Melaka Datuk Seri Adly Zahari.

Anwar berkata pilihan raya seharusnya menjadi medan untuk menjelaskan pencapaian, dasar dan perancangan kerajaan, bukannya ruang untuk mencaci atau menyemarakkan permusuhan politik.

Beliau berkata kerajaan perlu dinilai berdasarkan usaha menangani isu yang dekat dengan kehidupan rakyat, termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa usaha memperkukuh perpaduan tidak bermaksud kepentingan orang Melayu dan Bumiputera diketepikan, sebaliknya pembangunan negara perlu dilaksanakan dengan kerjasama semua kaum.

Beliau berkata Melaka perlu terus dibangunkan melalui penglibatan masyarakat Melayu, Cina dan India bagi memastikan negeri itu kekal maju serta menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi muda.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa perpecahan kaum boleh menjejaskan usaha negara menguasai teknologi baharu, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, selain menghambat penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan pendapatan rakyat.

Anwar berkata kerajaan juga komited memperbaiki kelemahan pentadbiran dan memastikan amanah rakyat dilaksanakan dengan bertanggungjawab, sambil menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan perlu dipelihara demi kepentingan negara.

Berhubung PRN Melaka, beliau menyeru rakyat menilai calon berdasarkan usaha dan komitmen mereka terhadap pembangunan negeri, manakala calon PH yang diumumkan perlu memikul amanah serta bekerja untuk rakyat.

Pada majlis itu, Anwar mengumumkan 21 calon yang bakal mewakili PH pada PRN Melaka yang akan berlangsung pada 14 Nov ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement