NEW YORK: Saham syarikat pengeluar cip terkemuka, Nvidia, merosot lebih lapan peratus dalam dagangan selepas waktu pasaran susulan laporan bahawa lembaga pengarah syarikat itu akan membincangkan masa depan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jensen Huang.
Menurut laporan media antarabangsa, mesyuarat itu dijadualkan berlangsung ketika Huang berdepan kontroversi berkaitan kehidupan peribadinya yang mendapat perhatian meluas sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Laporan oleh The New York Times, The Wall Street Journal dan Financial Times mendakwa lembaga pengarah Nvidia akan menilai kedudukan Huang susulan dakwaan hubungan peribadi beliau dengan seorang pekerja syarikat serta seorang wanita yang dikaitkan dengan perkhidmatan risikan China.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan pelabur terhadap hala tuju syarikat bernilai kira-kira AS$4.2 trilion (RM17.13 trilion) itu, sekali gus mencetuskan tekanan jualan ke atas sahamnya.
Setakat ini, Nvidia belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan berkenaan.
Menurut laporan Al Jazeera, Huang dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam industri kecerdasan buatan (AI), dengan Nvidia menjadi peneraju global dalam pembangunan cip yang digunakan bagi sistem AI generatif dan pusat data.