KUALA LUMPUR: Boeing, pengeluar pesawat global mengunjurkan permintaan terhadap pesawat di Asia Tenggara mencecah hampir 5,000 unit menjelang 2045.
Pengarah Urusan Pemasaran Boeing bagi Asia Pasifik Dave Schulte berkata rantau ini memerlukan 4,985 pesawat komersial baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang bagi memperluas rangkaian penerbangan, menampung pertumbuhan penumpang serta menggantikan pesawat yang semakin uzur.
“Daripada jumlah 4,985 pesawat itu, sebanyak 4,080 ialah pesawat berbadan sempit, mewakili kira-kira 81 peratus daripada unjuran penghantaran yang digunakan untuk menyokong rangkaian penerbangan domestik dan serantau.
"Kira-kira 880 pesawat berbadan lebar pula akan menyokong perjalanan antarabangsa jarak jauh, manakala 25 pesawat kargo akan memenuhi keperluan operasi pengangkutan udara khusus," katanya kepada media di luar Perhimpunan Presiden ke-70 (AP70) Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA), di sini hari ini.
Schulte berkata daripada keseluruhan unjuran itu, kira-kira 75 peratus atau 3,740 pesawat akan menyokong pertumbuhan saiz armada, manakala 25 peratus atau 1,245 pesawat lagi akan menggantikan pesawat sedia ada.
Katanya, hampir 75 peratus daripada penghantaran pesawat itu memerlukan syarikat penerbangan meningkatkan keupayaan penyelenggaraan, kapasiti kru dan tenaga kerja bagi menyokong pertumbuhan berkenaan.
“Sehubungan itu, kami mengunjurkan syarikat penerbangan di rantau ini perlu mengambil kira-kira 66,000 anggota kru baharu dalam tempoh 20 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya.
Mengenai pasaran kargo udara dan pesawat kargo khusus, Schulte berkata Boeing mengunjurkan permintaan global terhadap hampir 3,000 pesawat kargo baharu, merangkumi pesawat yang dibina khusus untuk tujuan itu serta pesawat penumpang yang ditukar kepada pesawat kargo.
Beliau berkata kira-kira 36 peratus daripada unjuran permintaan pesawat kargo di rantau Asia Pasifik adalah bagi menyokong pertumbuhan pasaran, dengan kira-kira separuh daripada permintaan itu datang dari China.
“Kira-kira 15 peratus diperlukan untuk menyokong pertumbuhan di Asia Tenggara, manakala selebihnya diagihkan kepada Asia Timur Laut dan Oceania,” katanya.
Boeing juga, katanya menjangkakan purata saiz pesawat di Asia Tenggara terus meningkat, dengan bilangan tempat duduk bagi setiap pesawat bertambah kira-kira dua tempat duduk setahun.
“Ini mencerminkan momentum di sebalik Boeing 737-10, memandangkan kami menjangkakan lebih banyak syarikat penerbangan beralih daripada model 737-800 dan MAX 8 kepada 737-10 yang lebih besar, yang mampu menampung sehingga 230 tempat duduk,” katanya.
-- BERNAMA