Skip to main content

Malaysia

MKN uji kesiapsiagaan agensi tangani ancaman di KLIA

Sebanyak 1,166 personel daripada pelbagai agensi keselamatan dan pihak berkepentingan menyertai Latih Amal Keselamatan Exercise Eagle Stealth 2026 (Ex Eagle Stealth) bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan koordinasi dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan di infrastruktur kritikal negara. - Foto Facebook MKN
Sebanyak 1,166 personel daripada pelbagai agensi keselamatan dan pihak berkepentingan menyertai Latih Amal Keselamatan Exercise Eagle Stealth 2026 (Ex Eagle Stealth) bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan koordinasi dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan di infrastruktur kritikal negara. - Foto Facebook MKN

Ringkasan AI

  • Seramai 1,166 personel pelbagai agensi menyertai Latih Amal Keselamatan Exercise Eagle Stealth 2026 di KLIA Terminal 1 dari 10 hingga 13 November.
  • Latihan ini menguji kesiapsiagaan menghadapi empat ancaman utama termasuk rampasan pesawat, dron, CBRNE, serta gangguan komunikasi dan keselamatan siber.
  • Program ini melibatkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor korporat dan masyarakat bagi memperkukuh pengurusan keselamatan penerbangan negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,166 personel daripada pelbagai agensi keselamatan dan pihak berkepentingan menyertai Latih Amal Keselamatan Exercise Eagle Stealth 2026 (Ex Eagle Stealth) bagi menguji tahap kesiapsiagaan serta keberkesanan koordinasi dalam menghadapi pelbagai ancaman keselamatan di infrastruktur kritikal negara.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan latihan yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dari 10 hingga 13 Nov itu bertujuan memastikan prosedur operasi keselamatan di fasiliti berkenaan sentiasa berada pada tahap optimum.

Menurut kenyataan itu, latihan berkenaan merangkumi empat senario ancaman utama, iaitu insiden rampasan pesawat, ancaman dron, ancaman Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNE), serta gangguan komunikasi dan keselamatan siber.

Advertisement

"Latih amal ini dilaksanakan berdasarkan Arahan MKN No. 18: Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan (Semakan Semula 2023) yang melibatkan penganjuran seminar, Tabletop Exercise (TTX), Field Training Exercise (FTX) dan After Action Review (AAR)," menurut kenyataan itu.

Latihan berkenaan dijayakan menerusi kerjasama strategik Malaysia Airports dengan pelbagai agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Advertisement

Turut terlibat ialah Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Penerangan (JAPEN) serta sektor korporat yang merangkumi SAPURA Research Sdn Bhd, PETRONAS dan Weststar Engineering Sdn Bhd.

Menurut MKN, pelaksanaan latihan itu mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat (Whole-of-Government dan Whole-of-Society) melalui penglibatan pelbagai kementerian, jabatan serta pihak berkepentingan dalam memperkukuh pengurusan keselamatan penerbangan.

"MKN akan sentiasa memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara melalui pendekatan proaktif, penyelarasan strategik dan kerjasama padu semua pihak bagi mendepani sebarang cabaran," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement