KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Accubits Technologies FZ LLE bagi memperkukuh dan membangunkan kerjasama antara kedua-dua pihak, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

Accubits adalah firma teknologi blockchain dan kecerdasan pintar (AI) yang berpangkalan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) dan mempunyai operasi di India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Firma tersebut khusus kepada penyediaan pelbagai perkhidmatan dalam bidang AI, pembangunan produk, pembangunan blockchain, proses automasi robotik dan penyelesaian perusahaan serta telah menerima pelbagai pengiktirafan sebagai peneraju dan pemain utama dalam teknologi blockchain.

"Tertakluk kepada terma MoU dan atas dasar bukan eksklusif, setiap pihak harus menggunakan usaha yang komersial yang munasabah bagi membangunkan keupayaan aset token hartanah dan tenaga hijau token mampan," katanya.

Tempoh MoU tersebut adalah selama setahun bermula dari tarikh kerjasama ditandatangani di antara kedua-dua pihak.

Kerjasama tersebut dijangka tidak memberi kesan kepada pendapatan Boustead dan atau anak-anak syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

"Sebaliknya, ia akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan," tambahnya. -DagangNews.com