Ringkasan AI
- Lebih 100 juta ketam merah di Pulau Christmas memulakan migrasi tahunan dari hutan ke laut untuk pembiakan.
- Pihak pemuliharaan dan pengurusan taman negara mengambil langkah seperti menutup jalan dan memasang penghadang khas bagi melindungi ketam semasa migrasi.
- Migrasi ini dianggap fenomena unik dunia dan penting untuk ekologi serta simbol biodiversiti Pulau Christmas.
SYDNEY: Lebih 100 juta ketam merah di Pulau Christmas, wilayah terpencil Australia di Lautan Hindi, telah memulakan migrasi tahunan dari kawasan hutan menuju ke laut bagi tujuan pembiakan.
Fenomena semula jadi yang berlaku setiap tahun itu biasanya bermula apabila musim hujan tiba, mendorong jutaan ketam merah keluar beramai-ramai dari habitatnya di pedalaman pulau menuju ke pesisir pantai untuk bertelur.
Migrasi besar-besaran itu menjadikan jalan raya, laluan pejalan kaki dan kawasan sekitar pulau dipenuhi ketam merah yang bergerak serentak ke arah laut, sekali gus menarik perhatian pelancong dan pencinta alam dari seluruh dunia.
Bagi memastikan perjalanan haiwan berkenaan selamat, usaha persiapan dijalankan selama berbulan-bulan oleh pihak pemuliharaan dan pengurusan taman negara di pulau tersebut.
Antara langkah yang diambil termasuk menutup beberapa jalan utama, memasang penghadang khas serta menyediakan jejambat dan terowong kecil bagi membolehkan ketam melintasi kawasan berisiko tanpa diganggu kenderaan.
Pulau Christmas terletak kira-kira 350 kilometer di selatan Indonesia dan lebih 1,000 kilometer dari tanah besar Australia.
Migrasi ketam merah dianggap antara fenomena hidupan liar paling unik di dunia dan memainkan peranan penting dalam kitaran ekologi pulau berkenaan.
Selepas mengawan di kawasan pesisir, ketam betina akan melepaskan jutaan telur ke dalam laut sebelum kembali semula ke hutan, manakala anak-anak ketam yang menetas akan mengharungi beberapa peringkat perkembangan sebelum kembali ke daratan beberapa minggu kemudian.
Fenomena tahunan itu terus menjadi simbol biodiversiti Pulau Christmas dan usaha berterusan Australia untuk memelihara salah satu migrasi haiwan paling luar biasa di rantau tersebut.