Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin, meletak jawatan selepas kekeliruan akibat perubahan peraturan antipenipuan AI menjelang peperiksaan kemasukan universiti.
- Perubahan peraturan saat akhir, termasuk larangan alat elektronik dan amaran kecemasan, menimbulkan kritikan serta kebimbangan dalam kalangan calon dan guru.
- Presiden Lee Jae Myung menerima peletakan jawatan Choi dan mengarahkan Perdana Menteri mengambil tindakan susulan serta memastikan langkah menyeluruh selepas peperiksaan.
SEOUL: Menteri Pendidikan Korea Selatan Choi Kyo-jin meletak jawatan pada Ahad selepas Presiden Lee Jae Myung menerima tawaran peletakan jawatannya berikutan kekeliruan yang timbul akibat perubahan peraturan pada saat-saat akhir bagi mencegah penipuan menggunakan kecerdasan buatan (AI) menjelang peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan minggu lepas, lapor Agensi Berita Yonhap.
Choi berkata pelbagai perubahan yang dibuat sejurus sebelum Suneung telah menyusahkan orang ramai, termasuk para calon peperiksaan. Suneung ialah singkatan Bahasa Korea bagi Ujian Keupayaan Skolastik Kolej (CSAT), iaitu peperiksaan kemasukan universiti tahunan negara itu yang diadakan pada Khamis lepas.
"Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya percaya saya tidak dapat lari daripada kritikan bahawa kami gagal membuat persediaan awal," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu. "Kini peperiksaan telah selesai, saya merasakan tanggungjawab yang berat dan menawarkan peletakan jawatan saya."
Lee menerima peletakan jawatan Choi kira-kira sejam selepas menteri itu mengumumkan hasratnya untuk berundur, menurut jurucakap Cheong Wa Dae, Kang Yu-jung, dalam satu makluman kepada media.
Lewat Ahad, Lee secara rasmi meluluskan peletakan jawatan Choi, kata Kang, sambil menambah bahawa Lee mengarahkan Perdana Menteri Han Seong-sook mengambil tanggungjawab penuh terhadap langkah susulan dan memastikan tindakan menyeluruh, termasuk langkah yang perlu diambil selepas peperiksaan kemasukan universiti itu.
Kang berkata proses pencalonan pengganti Choi akan dijalankan mengikut prosedur sewajarnya.
Kementerian Pendidikan dikecam hebat kerana tergesa-gesa mengumumkan peraturan baharu antipenipuan AI sehinggalah ke malam menjelang ujian, sehingga mencetuskan kekeliruan meluas dalam kalangan calon peperiksaan dan guru.
Perubahan pada saat-saat akhir itu termasuk membenarkan calon membawa pensel sahaja ke dalam dewan peperiksaan dan menutup butang pada pakaian mereka dengan pelekat bagi menghalang kamera mini.
Pihak berkuasa juga menghantar tiga amaran kecemasan bencana ke telefon bimbit di seluruh negara semasa peperiksaan berlangsung bagi membantu mengenal pasti calon yang gagal menyerahkan telefon mereka.
Sebanyak 111 kes disyaki menipu yang melibatkan peranti elektronik dikesan semasa peperiksaan itu, menurut Kementerian Pendidikan pada Jumaat.
Langkah berkenaan mengundang kritikan daripada calon peperiksaan dan guru yang mengadu bahawa perubahan pada saat-saat akhir menambah kebimbangan terhadap peperiksaan berisiko tinggi itu.
CSAT secara meluas dianggap sebagai peristiwa besar dalam kehidupan di Korea Selatan, yang mana kemasukan ke universiti boleh mempengaruhi prospek kerjaya secara ketara.
Choi turut menerima kritikan berhubung kenyataannya di Parlimen menjelang CSAT.
Apabila ditanya seorang Ahli Parlimen sama ada beliau 100 peratus yakin bahawa penipuan dibantu AI dapat dikesan, tokoh berusia 72 tahun itu menjawab, "Saya tidak rasa saya mampu, kerana usia saya."
Perubahan peraturan CSAT yang mendadak itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penipuan dibantu AI selepas peserta dengan markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai bertauliah tahun ini mengaku menipu menggunakan kamera mini, telefon pintar dan AI generatif.
Seorang lelaki yang memperoleh markah penuh dalam Ujian Kelayakan Pendidikan Undang-Undang (LEET) tahun ini, iaitu peperiksaan kemasukan sekolah undang-undang kebangsaan, ditemukan meninggal dunia pada Khamis selepas berdepan dakwaan menipu. Polis memaklumkan pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap dakwaan berkenaan.
-- BERNAMA-YONHAP