KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan semalam dan ditambah dengan kegawatan hartanah di China yang menjejaskan sentimen serantau.

Selain itu, para pelabur juga mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman keputusan suku ketiga keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia esok (Jumaat).

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.16 mata kepada 1,464.68 daripada paras penutup 1,466.84 pada Rabu.

Indeks itu dibuka rendah turun 2.06 mata kepada 1,464.78 dan mencecah paras terendah harian pada 1,460.46 dan paras tertinggi harian pada 1,465.16.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 487 berbanding 419 manakala 470 kaunter tidak berubah, 1,004 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.48 bilion unit bernilai RM2.07 bilion daripada 3.94 bilion unit bernilai RM2.21 bilion pada Rabu.

Menurut laporan Reuters, saham Asia jatuh pada Khamis, menghentikan seketika kenaikan tinggi pada minggu ini apabila data terbaharu China menunjukkan kelemahan sektor hartanah yang berlarutan di negara itu yang seterusnya menjejaskan sedikit keyakinan terhadap pemulihan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng melihat aktiviti pengambilan untung hari ini sebagai isyarat positif kerana ia membolehkan pasaran mencerna kenaikan baru-baru ini.

"Jangkaan kami adalah sentimen pasaran kekal stabil, disokong oleh kemasukan dana asing yang besar. Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI diniagakan dalam jajaran 1,460-1,470 menghala ke hujung minggu," katanya.

Seorang penganalisis lain berkata para pelabur juga memantau rapat keputusan KDNK suku ketiga Malaysia yang akan diumumkan esok, dengan ahli ekonomi mengunjurkan pertumbuhan 3.2 - 3.3 peratus berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank dan IHH tidak berubah masing-masing pada RM9.14 dan RM5.98, Public Bank naik satu sen kepada RM4.24 manakala CIMB dan Petronas Chemicals jatuh dua sen masing-masing kepada RM5.78 dan RM7.33.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hong Seng, Kanger International dan Leform tidak berubah masing-masing pada 4.0 sen, 6.5 sen dan 27.5 sen. Top Glove melonjak empat sen kepada 79 sen manakala Salutica meningkat tujuh sen kepada 86.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 3.76 mata kepada 10,828.30, Indeks FBMT 100 susut 2.88 mata kepada 10,490.95 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.90 mata kepada 11,033.40.

Indeks FBM ACE menyusut 2.37 mata kepada 5,118.81 tetapi Indeks FBM 70 naik 50.89 mata kepada 14,339.70.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 3.34 mata kepada 16,433.44, Indeks Tenaga turun 0.90 mata kepada 861.94 dan Indeks Perladangan susut 15.31 mata kepada 7,006.92. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian jatuh 0.12 mata kepada 174.44.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.10 bilion unit bernilai RM1.77 bilion daripada 2.56 bilion unit bernilai RM1.88 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 679.98 juta unit bernilai RM91.97 juta daripada 602.85 juta unit bernilai RM86.80 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 695.90 juta saham bernilai RM202.66 juta daripada 783.52 juta saham bernilai RM236.45 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 351.64 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (415.14 juta); pembinaan (65.56 juta); teknologi (442.55 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (62.26 juta); hartanah (155.64 juta); perladangan (35.77 juta); REITs (9.55 juta), dana tertutup (12,200); tenaga (98.30 juta); penjagaan kesihatan (239.06 juta); telekomunikasi dan media (34.48 juta); pengangkutan dan logistik (47.41 juta); dan utiliti (138.60 juta).

-- BERNAMA