BISNES
Bursa Malaysia buka tinggi, pelabur tidak terganggu dengan penutupan kerajaan AS

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.65 mata kepada 1,626.52 daripada 1,620.87 ketika ditutup semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran meningkat untuk dibuka tinggi pada Khamis, menjejaki kenaikan di Wall Street, apabila sebahagian besar pelabur tidak mengendahkan penutupan perkhidmatan kerajaan Amerika Syarikat (AS) dengan harapan keadaan itu hanya bersifat sementara, kata penganalisis.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka tinggi menjejaki prestasi Wall Street, dengan pelabur kekal optimis walaupun penutupan kerajaan AS dijangka sementara.
- FBM KLCI meningkat melepasi paras 1,620 dengan sokongan belian baharu, dijangka bergerak antara 1,620 hingga 1,630.
- Saham berwajaran tinggi dan kaunter aktif mencatat kenaikan, manakala sektor perkhidmatan kewangan dan perindustrian turut menunjukkan prestasi positif.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 298 berbanding 102 manakala 288 kaunter tidak berubah, 1,885 kaunter tidak diniagakan, dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 213.27 juta unit bernilai RM115.10 juta.
Naib Presiden Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup tinggi apabila sebahagian besar pelabur tidak mengendahkan penutupan operasi kerajaan AS, dengan harapan keadaan itu hanya berjangka masa pendek.
Beliau berkata walaupun data pekerjaan bagi September dijangka tertangguh berikutan penutupan kerajaan AS namun, data daripada ADP yang menunjukkan penurunan pembayaran gaji sektor swasta menandakan Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin menurunkan kadar faedah.
Keadaan itu sekali gus mendorong penurunan hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun kepada 4.10 peratus, katanya kepada Bernama.
Thong berkata bagi pasaran tempatan, FBM KLCI mencatatkan prestasi tinggi yang agak memberangsangkan semalam, apabila ditutup sedikit tinggi melepasi paras 1,620.
"Kami percaya sokongan belian baru-baru ini menunjukkan indeks mempunyai potensi untuk terus meningkat. Kami mengharapkan ini dapat merangsang semula penyertaan pelabur runcit.
"Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks bergerak dalam julat antara 1,620 hingga 1,630," katanya.
Antara kaunter berwajaran tinggi, IHH Healthcare meningkat 28 sen kepada RM8.22, Petronas Chemicals naik 7.0 sen kepada RM4.32, Tenaga menambah 8.0 sen kepada RM13.18, Press Metal Aluminium menokok 5.0 sen kepada RM5.98 dan YTL Power International naik 4.0 sen kepada RM4.26.
Kalangan saham aktif, Camaroe yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 2.0 sen kepada 16 sen, manakala VS Industry naik 2.5 sen kepada 62.5 sen, SNS menokok 5.5 sen kepada 74.5 sen, Technase menambah 1.5 sen kepada 14 sen dan Notion naik 3.0 sen kepada 68.5 sen.
Antara kaunter paling untung ialah Malaysian Pacific Industries yang melonjak 48 sen kepada RM29.38; Hong Leong Bank menambah 12 sen kepada RM20.92; KLCC meningkat 11 sen kepada RM8.70; dan Panasonic Manufacturing Malaysia naik 10 sen kepada RM8.50.
Kalangan kaunter paling rugi, Lianson Fleet Group susut 3.0 sen kepada RM1.98, manakala MNRB, Allianz, United Plantations dan LPI Capital masing-masing turun 2.0 sen kepada RM1.93, RM18.38, RM23.00 dan RM14.18.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 45.75 mata kepada 12,101.52, Indeks FBMT 100 naik 44.88 mata kepada 11,834.42, Indeks FBM Emas Syariah menokok 63.06 mata kepada 12,141.46, Indeks FBM 70 melonjak 80.69 mata kepada 16,929.58 dan Indeks FBM ACE menambah 19.47 mata kepada 5,222.75.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.15 mata kepada 173.65, Indeks Tenaga susut 0.27 mata kepada 778.08, Indeks Perladangan meningkat 0.13 mata kepada 7,788.24, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 27.71 mata kepada 18,437.48.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami