Skip to main content

Bisnes

Pos Malaysia catat kerugian lebih besar kepada RM62.25 juta tetapi hasil meningkat 8.3 peratus

Pos Malaysia akan terus memberikan tumpuan kepada transformasi, pendigitalan dan meningkatkan kecekapan berteraskan AI, pengurusan kos secara berdisiplin serta pembaharuan kawal selia. - Gambar fail
Pos Malaysia akan terus memberikan tumpuan kepada transformasi, pendigitalan dan meningkatkan kecekapan berteraskan AI, pengurusan kos secara berdisiplin serta pembaharuan kawal selia. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih yang meningkat kepada RM62.25 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026, daripada defisit RM45.23 juta pada suku yang sama setahun sebelumnya.

Hasil bagaimanapun meningkat 8.3 peratus tahun ke tahun kepada RM501.21 juta daripada RM462.77 juta yang disebabkan oleh pertumbuhan dalam semua segmen perniagaan.

Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara itu memaklumkan pertumbuhan hasil disokong oleh jumlah bungkusan dalam perniagaan kuriernya yang meningkat, selain sumbangan yang lebih baik daripada Pos Aviation, Pos Logistics dan perniagaan lain termasuk pensijilan digital, perkhidmatan data dan Pos Ar-Rahnu.

Advertisement

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept, 2026, kerugian bersih kumpulan itu mengecil kepada RM125.26 juta daripada RM132.17 juta dalam tempoh sama tahun lepas, manakala hasil bagi tempoh sembilan bulan itu meningkat kepada RM1.48 bilion daripada RM1.37 bilion setahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Charles Brewer berkata prestasi suku ketiga mencerminkan kemajuan berterusan dalam usaha transformasi kumpulan itu, dengan pertumbuhan dicatatkan merentasi semua segmen perniagaan, diterajui oleh perniagaan kuriernya, manakala kerugian sebelum cukai bagi tempoh sembilan bulan terus mengecil.

Advertisement

“Dengan tempoh akhir tahun bakal tiba, kami bersedia untuk meneruskan momentum ini. Fokus kami jelas, iaitu terus meningkatkan kecekapan melalui tumpuan operasi yang berdisiplin dan sudah tentu, memanfaatkan inovasi digital serta kecerdasan buatan (AI) dengan lebih meluas.

“Kami mengalu-alukan pengumuman kerajaan mengenai penubuhan Dana Perkhidmatan Pos dan peruntukan RM150 juta kepada dana itu pada suku pertama 2027,” katanya dalam satu kenyataan.

Brewer berkata, kumpulan itu turut berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke arah mewujudkan rangka kerja pembiayaan mampan bagi Obligasi Perkhidmatan Sejagat (USO) untuk memastikan perkhidmatan pos terus disediakan kepada semua rakyat Malaysia.

Pada masa hadapan, Pos Malaysia memaklumkan pasaran bungkusan domestik kekal kompetitif dan berdepan dengan cabaran struktur, walaupun jumlah bungkusan dijangka mendapat manfaat daripada permintaan bermusim yang meningkat pada kemuncak akhir tahun, berdasarkan peningkatkan dalam bahagian pasaran yang dicapai setakat ini.

Kumpulan itu akan terus memberikan tumpuan kepada transformasi, pendigitalan dan meningkatkan kecekapan berteraskan AI, pengurusan kos secara berdisiplin serta pembaharuan kawal selia.

“Lembaga Pengarah menjangkakan prestasi kewangan bagi tahun kewangan 2026 kekal mencabar dengan kadar pemulihan bergantung, antara lain, kepada pelaksanaan rangka kerja pembiayaan USO yang mampan,” tambahnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement