GENEVA: Pengurangan bantuan pembangunan meningkatkan risiko pelarian menjadi mangsa eksploitasi, penderaan dan pemerdagangan manusia, menurut dua kajian baharu yang dikeluarkan pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kes pemerdagangan manusia yang dikesan di Cox's Bazar, Bangladesh, meningkat 28 peratus antara 2024 dan 2025, menurut laporan Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan Nuffield College, Universiti Oxford.
Kawasan itu menempatkan kem pelarian yang disifatkan PBB sebagai terbesar di dunia, dengan lebih sejuta pelarian Rohingya dari negara jiran Myanmar.
Lebih 170,000 pelarian baharu tiba di kawasan itu antara 2024 dan 2025, ketika belanjawan operasi UNHCR berkurangan lebih lapan peratus.
Amerika Syarikat (AS) dan banyak negara lain telah mengurangkan pembiayaan bantuan pembangunan.
Di Ethiopia, kurang satu pertiga daripada keperluan pembiayaan UNHCR bagi 2025 dipenuhi, manakala hanya 18 peratus daripada langkah perlindungan kanak-kanak yang dirancang dapat dibiayai, menurut satu lagi kajian oleh agensi PBB itu bersama Universiti Oxford.
Sementara itu, buruh kanak-kanak meningkat ke tahap membimbangkan, dengan semakin ramai kanak-kanak didapati bekerja dalam sektor pertanian dan perlombongan tidak formal, menurut kajian berkenaan.
Kanak-kanak perempuan pula berdepan peningkatan risiko eksploitasi seksual, perkahwinan awal dan buruh paksa.
Langkah perlindungan termasuk penyediaan tempat tinggal yang selamat, pendidikan dan sokongan psikososial.
“Keadaan kekal kritikal pada 2026,” menurut penulis kajian itu.
“Program perlindungan kanak-kanak global UNHCR hanya menerima 25 peratus daripada pembiayaan yang diperlukan, manakala usaha mencegah dan menangani keganasan berasaskan gender hanya menerima 24 peratus pembiayaan setakat Julai 2026.”
-- BERNAMA-dpa