Skip to main content

Malaysia

Pengangkutan kargo pacu unjuran hasil ECRL RM418 juta pada 2029 - Hasbi

Hasbi berkata, berdasarkan kajian perunding bagi tempoh 2020 hingga 2025, hasil perkhidmatan penumpang diunjurkan meningkat daripada RM192 juta pada 2027 kepada RM198 juta pada 2028 dan RM204 juta pada 2029. - Bernama
Hasbi berkata, berdasarkan kajian perunding bagi tempoh 2020 hingga 2025, hasil perkhidmatan penumpang diunjurkan meningkat daripada RM192 juta pada 2027 kepada RM198 juta pada 2028 dan RM204 juta pada 2029. - Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengangkutan kargo dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan hasil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan sumbangannya diunjurkan meningkat lebih tiga kali ganda kepada RM214 juta pada 2029, berbanding RM68 juta pada 2027.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata peningkatan itu, dijangka menyumbang kepada unjuran hasil keseluruhan ECRL sebanyak RM418 juta pada 2029, berbanding RM260 juta yang diunjurkan pada 2027, merangkumi perkhidmatan penumpang dan pengangkutan kargo.

Beliau berkata berdasarkan kajian perunding bagi tempoh 2020 hingga 2025, hasil perkhidmatan penumpang diunjurkan meningkat daripada RM192 juta pada 2027 kepada RM198 juta pada 2028 dan RM204 juta pada 2029.

Advertisement

Bagi pengangkutan kargo, hasilnya dijangka meningkat daripada RM68 juta pada 2027 kepada RM71 juta pada 2028 dan RM214 juta pada 2029, selaras dengan pembukaan jajaran serta kemudahan kargo secara berperingkat.

“Dalam jangka panjang, perkhidmatan kargo dijangka menjadi penyumbang utama kepada pendapatan ECRL dengan sasaran sekitar 70 peratus hasil daripada kargo dan 30 peratus daripada penumpang apabila operasi mencapai tahap lebih matang,” katanya.

Advertisement

Hasbi berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan (MOT), di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata ECRL turut dilihat sebagai pelaburan infrastruktur strategik jangka panjang, yang dijangka menjana kesan limpahan ekonomi melalui peningkatan aktiviti perdagangan, pembangunan kawasan perindustrian dan pembangunan berorientasikan transit (TOD), tarikan pelaburan baharu serta pengukuhan rangkaian logistik antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Mengenai struktur tambang ECRL, Hasbi berkata kerajaan belum memuktamadkan kadar tambang khusus bagi golongan berdaftar eKasih dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Bagaimanapun, kerajaan menyediakan diskaun tambang sebanyak 50 peratus kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak serta 40 peratus kepada pelajar.

“Cadangan pakej tambang keluarga dan penetapan had maksimum tambang ketika musim perayaan juga akan diteliti, dengan mengambil kira mekanisme tambang dinamik berdasarkan permintaan, kapasiti serta tempoh pembelian tiket,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata cadangan projek Trans Borneo Railway akan dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan, sebelum langkah seterusnya ditentukan berdasarkan keputusan yang dibuat.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan MOT berjumlah RM7,072,393,600 bagi 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahaskan 21 Ahli Parlimen.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement