ISTANBUL: Pesuruhjaya Eropah bagi Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Hadja Lahbib pada Isnin menggesa Israel membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza dengan lebih kerap serta menetapkan peraturan penghantaran yang jelas dan boleh dijangka, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bercakap kepada pemberita menjelang mesyuarat menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Lahbib berkata keadaan musim sejuk memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah Palestin itu.
“Gaza sedang berdepan malapetaka kemanusiaan, dan musim sejuk menjadikannya lebih mengancam nyawa,” katanya sambil menambah bahawa 70,000 khemah dilanda banjir, keluarga terdedah kepada hujan dalam cuaca sejuk melampau dan kanak-kanak meninggal dunia akibat hipotermia.
Lahbib menggesa Israel membenarkan lebih banyak bekalan tempat perlindungan, jentera berat, minyak enjin dan alat ganti dibawa masuk, sambil menyatakan bahawa bekalan kemanusiaan penting yang diklasifikasikan sebagai barangan dwiguna hanya dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza sekali seminggu.
“Kami memerlukan lebih banyak hari untuk membawa masuk bantuan serta peraturan yang boleh dijangka,” katanya. “Kami bahkan tidak mempunyai peraturan bertulis.”
Beliau turut menggesa Israel menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beralih kepada Ukraine, Lahbib menuduh Rusia sengaja menyasarkan infrastruktur pemanasan, bekalan air dan elektrik serta “menjadikan musim sejuk sebagai senjata perang”.
Beliau berkata EU akan menghantar 500 generator bersama tempat perlindungan dan bekalan kemanusiaan lain daripada simpanannya, sebagai tambahan kepada bantuan kecemasan sebanyak 20 juta euro (US$22 juta) yang diperuntukkan pada awal September.
Beliau menambah bahawa Norway akan menyediakan empat jambatan modular, manakala Perancis akan menghantar 200 bas.
Mengenai Syria, Lahbib berkata EU memperuntukkan bantuan kemanusiaan tertinggi sebanyak 210 juta euro (US$231.4 juta) tahun ini, sambil menyatakan bahawa 15 juta rakyat Syria bergantung kepada bantuan kemanusiaan dan lapan juta lagi masih kehilangan tempat tinggal.
Lahbib turut berkata peningkatan ketegangan terbaharu di Yaman menyebabkan lebih 300,000 orang kehilangan tempat tinggal dan menyukarkan bantuan disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau menambah bahawa operasi jambatan udara kemanusiaan EU telah menghantar bekalan ke Sana'a dan Aden minggu lepas.
-- BERNAMA-ANADOLU