KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin dalam persekitaran prestasi Wall Street bercampur-campur pada Jumaat lepas.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.20 mata kepada 1,547.91 daripada 1,549.11 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.18 mata kepada 1,548.93.

Sentimen pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 230 berbanding 221 manakala 289 kaunter tidak berubah, 1,574 tidak diniagakan dan 29 yang lain digantung.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka suasana pasaran akan kekal stabil dalam masa terdekat, disokong oleh keputusan kewangan korporat yang menggalakkan dan aliran masuk dana asing, walaupun dijangka terdapat aktiviti pengambilan untung.

"Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam julat 1,545-1,555 hari ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, katanya niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) kini pada aliran meningkat, berada hanya di bawah paras RM4,000 satu tan.

"Jika niaga hadapan MSM melepasi paras RM4,000 satu tan, kami menjangka pelabur akan mengambil kedudukan dalam sektor perladangan," katanya.

Di bursa tempatan, saham wajaran tinggi Maybank merosot dua sen kepada RM9.51 manakala Public Bank, CIMB, Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals, masing-masing tidak berubah pada RM4.48, RM6.41, RM11.28 dan RM6.95.

Bagi saham aktif, Hong Seng Consolidated naik setengah sen kepada 2.5 sen, Dagang NeXchange menambah 1.5 sen kepada 37.5 sen, YTL Corporation meningkat tiga sen kepada RM2.50, Seng Fong dan Master Tec, masing-masing menokok 4.5 sen kepada 81.5 sen dan 58 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 7.32 mata kepada 11,512.04, Indeks FBMT 100 berkurangan 8.23 mata kepada 11,163.94, Indeks FBM Emas Shariah susut 7.19 mata kepada 11,554.59, Indeks FBM 70 turun 9.72 mata kepada 15,582.80 dan Indeks FBM ACE merosot 13.12 mata kepada 4,872.77.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 11.81 mata kepada 17,333.58, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.05 mata kepada 177.80 dan Indeks Perladangan susut 51.54 mata kepada 7,196.29, bagaimanapun Indeks Tenaga naik 3.98 mata kepada 933.87.

-- BERNAMA