KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang negatif, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.60 mata kepada 1,549.64 daripada 1,553.24 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.17 mata kepada 1,551.07.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 243 berbanding 125 dengan 283 kaunter tidak berubah, 1,669 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 150.61 juta unit bernilai RM69.93 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peniaga Wall Street memutuskan untuk menyimpan keuntungan, menggariskan kebimbangan mengenai penilaian yang terlalu tinggi dalam ekuiti Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa peningkatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada awal tahun ini.

Beliau berkata peniaga sedang menunggu data pekerjaan AS pada Mac yang akan dikeluarkan hari ini.

"Kami berharap jualan semalaman di Wall Street akan mewujudkan lebih banyak pengimbangan semula portfolio dan memacu aliran semula ke rantau Asia.

"Bagaimanapun, kami percaya sentimen secara keseluruhan dijangka terjejas, justeru kami menjangka dagangan menjadi berhati-hati dan indeks akan berada dalam julat 1,550-1,560 hari ini," kata Thong kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium merosot 7.0 sen kepada RM5.05, YTL Corporation, Maxis dan YTL Power International, masing-masing susut 3.0 sen kepada RM2.63, RM3.43 dan RM3.99, Tenaga berkurangan 8.0 sen kepada RM11.42 dan CIMB turun 4.0 sen kepada RM6.61.

Sementara itu, Axiata dan IHH Healthcare, masing-masing naik 3.0 sen kepada RM2.64 dan RM6.08 manakala Sime Darby dan Petronas Chemicals, masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM2.76 dan RM6.77.

Bagi kebanyakan saham aktif, Tanco merosot setengah sen kepada 86 sen, Ingenieur menambah setengah sen kepada 14.5 sen, Velesto tidak berubah pada 30.5 sen dan Bumi Armada meningkat 1.0 sen kepada 61 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 22.78 mata kepada 11,666.18, Indeks FBMT 100 merosot 21.66 mata kepada 11,300.53 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 18.76 mata kepada 11,803.31.

Indeks FBM 70 berkurangan 12.36 mata kepada 16,288.08 dan Indeks FBM ACE jatuh 8.00 mata kepada 4,988.55.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 40.25 mata kepada 17,255.52, Indeks Perladangan susut 9.59 mata kepada 7,396.90 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.39 mata kepada 182.73 manakala Indeks Tenaga menambah 4.34 mata kepada 985.07.

-- BERNAMA