KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rengah pada sesi awal dagangan Jumaat selepas tekanan jualan mempengaruhi indeks utama.

Seorang peniaga berkata dagangan hari ini juga selari dengan prestasi pasaran serantau yang lemah apabila sentimen pasaran terus menyusut berikutan komen terkini pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell bahawa lebih banyak langkah mungkin diperlukan untuk mencapai tahap inflasi yang disasarkan.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.60 mata kepada 1,450.67 daripada penutup semalam pada 1,452.27. Indeks dibuka 1.71 mata lebih rendah pada 1,450.56.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mendahului kaunter untung 240 berbalas 128, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,730 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 508.84 juta unit bernilai RM120.89 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, berikutan komen pengerusi Rizab Persekutuan yang lebih cenderung kepada menaikkan kadar faedah, Wall Street mengakhiri sesi dagangan agak lemah.

Ia menjangkakan beberapa minat jualan akan melimpah ke bursa saham tempatan, justeru, kenaikan harga mungkin terhad untuk FBM KLCI dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun, kami percaya peniaga boleh mengalihkan perhatian mereka kepada musim pelaporan yang sedang berjalan dan mencari peluang dalam saham dengan prospek pertumbuhan yang lebih baik," kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikannya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional susut satu sen setiap satu untuk mencatatkan harga RM9.11, RM4.20 dan RM9.89, manakala CIMB turun empat sen kepada RM5.74 dan Petronas Chemicals menambah dua sen kepada RM7.22.

Bagi saham aktif, Hong Seng meraih setengah sen kepada 5.0 sen, Vestland peroleh 2.5 sen menjadi 37.5 sen manakala SMTrack tidak berubah pada 5.0 sen. Reneuco pula lemah satu sen menjadi 19 sen dan Zen Tech merosot setengah sen kepada 2.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 17.11 mata kepada 10,725.92, Indeks FBMT 100 turun 16.70 mata kepada 10,387.87 dan Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 11.47 mata kepada 10,934.41.

Indeks FBM 70 susut 45.77 mata menjadi 14,186.72 dan Indeks ACE FBM berkurangan 12.65 mata kepada 5,146.58.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.04 mata kepada 173.08, Indeks Perladangan merosot 2.23 mata kepada 6,921.16, Indeks Tenaga menguncup 2.37 mata untuk mencatatkan paras 859.16 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan kerugian 24.72 mata kepada 16,340.79.

-- BERNAMA