Ringkasan AI
- Astro dan Kancil Awards 2026 bekerjasama melalui program Young Kancils untuk mengasah bakat kreatif muda dengan tugasan sebenar industri.
- Astro Audio memperluas kehadiran jenama melalui siaran udara, platform dalam talian dan aktiviti lapangan, mengekalkan hubungan erat dengan audiens.
- Astro meraih dua Emas, dua Perak, sembilan Gangsa dan satu Merit di Kancil Awards 2026, menonjolkan kekuatan kreativitinya dalam pelbagai kategori.
SUBANG JAYA: Daripada sekadar mencetuskan idea kepada berdepan dengan cabaran industri sebenar, bakat kreatif muda kini berpeluang mengasah kreativiti mereka dalam dunia profesional.
Menerusi kerjasama Astro dan Kancil Awards 2026, program Young Kancils membuka ruang kepada generasi kreatif baharu untuk menterjemahkan idea kepada penyelesaian kreatif yang relevan dengan keperluan industri.
Peserta diberikan tugasan sebenar oleh Astro untuk meneroka bagaimana sesebuah jenama boleh menjadi sebahagian daripada kandungan hiburan, di samping memahami cabaran dan tuntutan industri kreatif masa kini.
Ketua Majlis Kreatif dan Pengerusi Bersama Penganjur Kancil merangkap Ketua Pegawai Kreatif Publicis Groupe Malaysia, Emir Shafri berkata, kerjasama itu bukan sekadar penajaan, sebaliknya membuka ruang pembelajaran yang lebih dekat dengan realiti industri.
“Dalam dunia penjenamaan hari ini, jenama bukan lagi sekadar mengganggu hiburan yang dinikmati pengguna.
“Sebaliknya, jenama perlu menjadi sebahagian daripada hiburan itu sendiri. Astro, sebagai syarikat kandungan dan hiburan terkemuka Malaysia, merupakan rakan kerjasama yang tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kancil Awards & Festival of Creativity 2026 yang berlangsung di sini pada Jumaat lalu dengan mengangkat tema “Make It For Yourself”.
Jelas Emir, penglibatan Astro dalam program Young Kancils tahun ini memberi peluang kepada bakat muda untuk memahami bagaimana sesebuah jenama boleh disepadukan secara kreatif dalam kandungan hiburan melalui tugasan sebenar.
“Ini bukan lagi sekadar teori. Mereka berpeluang melihat bagaimana pendekatan itu boleh dilaksanakan menerusi tugasan sebenar.
“Mereka bukan sahaja berpeluang memenangi anugerah di pentas, tetapi turut mendapat akses untuk mempelajari pengalaman terbaik dalam bidang penjenamaan dan hiburan,” jelasnya.
Dalam landskap industri yang semakin dipengaruhi kecerdasan buatan (AI), automasi dan algoritma, Emir turut menekankan kepentingan budaya dan penceritaan tempatan dalam menghasilkan karya kreatif yang mempunyai identiti tersendiri.
Walaupun kemajuan teknologi membolehkan lebih banyak kandungan dihasilkan dalam tempoh yang singkat, keunikan budaya dan penceritaan tempatan mampu membezakan sesebuah karya daripada yang lain.
“Apabila kita mempunyai terlalu banyak alat, AI, automasi dan algoritma, apa yang boleh berlaku ialah kita menghasilkan lebih banyak perkara yang sama, cuma dengan lebih pantas dan murah.
“Namun, budaya serta penceritaan tempatan memberikan kita kelebihan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Astro Audio, Priya Prabakaran berkata, Astro Audio kini berkembang melangkaui penyiaran radio tradisional dengan memperluas kehadiran jenamanya melalui tiga saluran utama, iaitu siaran udara, platform dalam talian dan aktiviti lapangan.
Perkembangan itu membolehkan Astro Audio terus mendekati audiens dalam pelbagai cara, dengan memanfaatkan hubungan bersama komuniti pendengar yang telah dibina sejak 30 tahun lalu.
“Dahulu, apabila bercakap mengenai radio, kita hanya melihat kepada siaran FM dan apa yang didengar melalui radio.
“Namun, kini kita bukan lagi sekadar stesen radio, sebaliknya sebuah jenama yang boleh diakses menerusi siaran udara, dalam talian dan aktiviti lapangan,” katanya.
Di sebalik perubahan teknologi dan cara audiens menikmati kandungan, Priya berkata, kekuatan radio masih berpaksikan hubungan sesama manusia, khususnya keakraban antara penyampai dengan pendengar.
Baginya, kandungan yang dekat di hati audiens bermula daripada minat dan keikhlasan mereka yang menghasilkannya.
“Kami mempunyai personaliti dan 120 penyampai radio.
“Kami memastikan kandungan yang dihasilkan ialah sesuatu yang kami sendiri suka. Apabila kami percaya dan menyukainya, kandungan itu akan mendapat sambutan daripada audiens,” tambahnya.
Sebagai contoh, beliau berkongsi pengalaman dua penyampai radio ERA, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil dan Azad Jasmin, yang lebih mesra disapa Pak Azad, melakukan aktiviti terjun udara pada minggu sebelumnya bagi merealisasikan salah satu impian Nabil.
Menurut Priya, apabila penyampai diberi ruang untuk melakukan sesuatu yang benar-benar diminati, mereka akan lebih bersungguh-sungguh dalam menghasilkan kandungan dan berkongsi pengalaman tersebut dengan audiens.
“Jika itu sesuatu yang berada dalam senarai impian Nabil, dia akan melakukannya dengan lebih bersungguh-sungguh dan memberikan usaha tambahan. Dia juga akan memastikan sikap serta segala yang dilakukan adalah untuk audiens,” jelasnya.
Semangat itu turut diterapkan dalam kalangan 120 penyampai yang mewakili 13 jenama Astro Audio bagi memastikan setiap kandungan yang dihasilkan kekal dekat dan relevan dengan pelbagai lapisan audiens.
Pada Kancil Awards 2026, selain menampilkan persembahan pentas, Astro turut mencatatkan kejayaan menerusi beberapa karya kreatif yang mendapat pengiktirafan dalam pelbagai kategori.
Karya “Bila Bersama, Lagi Jadi” meraih dua anugerah Emas bagi kategori Filem Fiksyen dan Bukan Fiksyen serta Seni Penulisan Kreatif Bahasa Melayu.
Karya tersebut turut membawa pulang satu anugerah Perak bagi kategori Filem Siaran dan Pawagam, serta dua Gangsa bagi kategori Filem Dalam Talian dan Penggunaan Wawasan Budaya Terbaik dalam Filem dan Kandungan Berjenama.
Sementara itu, “Bapak Tak Rilek” dan “Tergoda Dengan Sooka?” masing-masing meraih Gangsa bagi kategori Filem Dalam Talian. Kedua-dua karya turut mendapat pengiktirafan dalam kategori Seni Penulisan Kreatif Bahasa Melayu, dengan “Bapak Tak Rilek” meraih Gangsa, manakala “Tergoda Dengan Sooka?” membawa pulang Perak.
“Yang Sudi Tinggal” pula menerima pengiktirafan Merit bagi kategori Filem Siaran dan Pawagam serta Gangsa bagi kategori Seni Penulisan Kreatif Bahasa Melayu.
Dalam kategori Media, Astro Originals, Good Boys Go To Heaven: Collective Detective” membawa pulang tiga anugerah Gangsa, meliputi Penggunaan Platform Sosial Terbaik, Kempen Media Bersepadu Terbaik dan Keberkesanan Kreatif Media.
Secara keseluruhan, Astro meraih dua Emas, dua Perak, sembilan Gangsa dan satu Merit, sekali gus memperlihatkan kekuatan kreativitinya merentasi bidang filem, penulisan iklan dan media.
Lebih daripada sekadar pengiktirafan terhadap karya yang dihasilkan, penglibatan Astro dalam Kancil Awards 2026 turut mencerminkan komitmennya dalam menyediakan ruang untuk idea berkembang, bakat baharu dibentuk dan kreativiti tempatan terus diangkat.