Ringkasan AI
- The Rock mencetuskan spekulasi persaraan selepas aksi simbolik di Survivor Series: WarGames, namun tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini.
- Rey Mysterio mengesahkan akan menamatkan karier gustinya pada 12 Jun 2027 di Mexico City, dengan WWE mengumumkan siri jelajah persaraan.
- The Bloodline menewaskan The 946 dalam WarGames lelaki, namun diserang selepas perlawanan, manakala Liv Morgan dan Team Flair turut raih kemenangan kejuaraan.
APAKAH Survivor Series 2026 menjadi detik perpisahan dua figura ikonik dalam dunia gusti profesional?
Itu persoalan yang bermain di fikiran peminat World Wrestling Entertainment (WWE) susulan kemunculan Dwayne Johnson atau The Rock pada acara Survivor Series: WarGames di Houston, Texas, pada Ahad.
The Rock, yang kembali bagi meraikan ulang tahun ke-30 debutnya dalam WWE, mencetuskan spekulasi mengenai persaraannya selepas meninggalkan mikrofon berwarna emas dan cermin mata hitamnya di tengah gelanggang.
Dalam segmen penuh nostalgia dan emosi itu, bintang Hollywood berkenaan mengimbau perjalanan kariernya, termasuk perseteruan dengan legenda WWE, ‘Stone Cold’ Steve Austin, serta pengorbanan keluarganya dalam membentuk dirinya sebagai seorang penggusti profesional.
The Rock turut meluangkan masa memeluk ibunya, Ata Johnson, yang berada di tepi gelanggang, sebelum menzahirkan penghargaan kepada warga kerja WWE dan para peminat yang menyokongnya sepanjang tiga dekad lalu.
“Saya datang untuk mengucapkan terima kasih. Dan saya sayangkan anda semua,” katanya.
Selepas mengungkapkan frasa ikoniknya, ‘If you smell what The Rock is cooking’, beliau meletakkan mikrofon dan cermin mata hitamnya di tengah gelanggang sebelum beredar sambil mengangkat genggaman tangan.
Tindakan simbolik itu sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada figura yang digelar ‘The People’s Champion’ itu sudah bersedia untuk menutup tirai kariernya dalam WWE.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada pengumuman rasmi mengenai persaraan The Rock.
Rey Mysterio bakal akhiri karier di Mexico
Jika The Rock sekadar memberi bayangan, seorang lagi legenda WWE, Rey Mysterio, pula mengesahkan bahawa beliau bakal mengakhiri kariernya sebagai penggusti profesional pada tahun hadapan.
Menerusi segmen 'post show' Survivor Series, Mysterio mengumumkan bahawa perlawanan terakhirnya akan berlangsung pada 12 Jun 2027 di Estadio Banorte, yang dahulunya dikenali sebagai Estadio Azteca, di Mexico City.
Pengumuman itu turut mengejutkan rakan sepasukannya, Penta, Rey Fenix, Dragon Lee dan El Grande Americano, yang kemudiannya tampil memberikan penghormatan kepada legenda lucha libre berkenaan.
WWE turut mengesahkan siri jelajah persaraan Mysterio, namun identiti lawan terakhirnya masih belum didedahkan.
Mysterio, yang memulakan karier gustinya sejak usia remaja di Mexico, menyertai WWE pada 2002 sebelum mencipta pelbagai kejayaan, termasuk memenangi Royal Rumble 2006 serta merangkul kejuaraan dunia pada WrestleMania 22.
Beliau turut disenaraikan dalam WWE Hall of Fame pada 2023.
The Bloodline menang, namun dibelasah 946
Sementara itu, aksi utama Survivor Series menyaksikan The Bloodline yang diketuai Roman Reigns menewaskan The 946 dalam perlawanan WarGames lelaki.
Reigns bersama Jacob Fatu, Solo Sikoa serta pasangan kembar Jimmy dan Jey Uso berganding bahu menentang Royce Keys, Carmelo Hayes, Cruz Montana, Bronco Nima dan Lucien Price.
Kemenangan The Bloodline hadir selepas Sikoa dan Reigns melakukan kombinasi gerakan Samoan Spike dan Spear terhadap Price, sebelum Reigns melakukan pinfall.
Bagaimanapun, kegembiraan mereka tidak bertahan lama apabila Keys menggunakan tali pinggang Kejuaraan Heavyweight Dunia untuk menyerang Reigns dan Sikoa sejurus perlawanan berakhir.
Jaida Parker kemudiannya menghalang pengadil daripada membuka pintu sangkar besi sebelum memasuki struktur berkenaan dan menguncinya dari dalam.
Acara berakhir dengan kesemua anggota The 946 berdiri megah sambil mengangkat genggaman tangan, meninggalkan The Bloodline terkulai di dalam sangkar.
Meskipun tewas, perceritaan atau storyline The 946 dengan The Bloodline jelas belum selesai.
Aksi-aksi lain dalam Survivor Series 2026
Dalam aksi tradisional Survivor Series lima lawan lima pula, Penta muncul wira Team Mexico selepas menjadi satu-satunya anggota pasukannya yang terselamat (sole survivor).
Team Mexico yang diketuai Rey Mysterio berjaya menewaskan Team USA, dibarisi Cody Rhodes, CM Punk, Seth Rollins, LA Knight dan Je’Von Evans.
Dalam saingan Kejuaraan Dunia Wanita WWE, Liv Morgan berjaya mempertahankan gelarannya selepas menewaskan Becky Lynch dengan bantuan dua anggota The Judgment Day, Raquel Rodriguez dan Roxanne Perez.
Bagi perlawanan WarGames wanita yang membuka tirai acara, pasukan Charlotte Flair berjaya menewaskan pasukan Jade Cargill meskipun kehilangan seorang anggota ketika perlawanan sedang berlangsung.
Flair yang dibantu Stephanie Vaquer, Alexa Bliss, Tatum Paxley dan Bayley berdepan Cargill, Michin serta tiga anggota Fatal Influence, Jacy Jayne, Fallon Henley dan Lainey Reid.
Antara detik menarik perlawanan itu termasuk aksi Flair melakukan gerakan Moonsault dari bahagian atas sangkar besi.
Vaquer berjaya memastikan kemenangan pasukannya selepas melakukan gerakan Vaquer Inferno terhadap Cargill yang ketika itu berada dalam kuncian Figure Four oleh Flair.
Selain acara-acara tersebut, Survivor Series edisi kali ini turut menyaksikan kemunculan legenda WWE, John Cena, yang mengumumkan Kevin Owens sebagai peserta terakhir kejohanan John Cena Classic.
Kedua-duanya berkongsi detik penuh emosi apabila Owens menzahirkan penghargaan kepada Cena atas pengaruhnya terhadap perjalanan kariernya dalam WWE.
Dalam pada itu, WWE turut memberikan penghormatan kepada Bronson Reed atau nama sebenarnya Jermaine Haley, yang meninggal dunia pada usia 38 tahun sehari sebelum acara berkenaan.
Selain tayangan video memperingati perjalanan karier Reed, WWE turut mengadakan upacara membunyikan loceng sebanyak 10 kali (10-bell salute) sebagai penghormatan terakhir kepada penggusti kelahiran Australia itu.