Bursa Malaysia dibuka rendah seiring penurunan Wall Street

Thong berkata penurunan FBM KLCI semalam perlu dilihat sebagai sementara berbanding perubahan trend selepas mencatatkan kenaikan yang kukuh. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, didorong oleh aktiviti pengambilan untung yang sederhana di kaunter terpilih, seiring dengan penurunan semalaman Wall Street dalam sentimen berhati-hati global yang berterusan.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat akibat aktiviti pengambilan untung di beberapa kaunter terpilih, dipengaruhi oleh penurunan Wall Street semalam.
- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.73 mata kepada 1,727.29, dengan lebih kaunter rugi berbanding untung dalam pasaran.
- Naib Presiden Rakuten Trade Sdn Bhd menyatakan penurunan FBM KLCI perlu dilihat sebagai sementara dan jangkaan dagangan dalam julat 1,730 hingga 1,745 hari ini.
Jumlah dagangan sebanyak 240.07 juta saham bernilai RM149.64 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah berikutan jualan berterusan dalam saham teknologi selain data pekerjaan yang lemah meningkatkan kebimbangan dalam pasaran yang telah terjejas disebabkan penurunan ketara dalam sektor perisian.
"Di Hong Kong, saham meningkat berikutan aktiviti belian saham pada harga rendah dalam syarikat teknologi seperti Lenovo, Baidu dan Xiaomi, dengan Indeks Hang Seng naik 0.14 peratus kepada 26,885.24," katanya kepada Bernama.
Dalam negara, Thong berkata penurunan FBM KLCI semalam perlu dilihat sebagai sementara berbanding perubahan trend selepas mencatatkan kenaikan yang kukuh.
"Kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,730 hingga 1,745 hari ini," katanya.
Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot 2.0 sen kepada RM11.92 dan RM13.96, IHH Healthcare berkurangan 1.0 sen kepada RM8.76, Public Bank meningkat 2.0 sen kepada RM4.92 manakala CIMB kekal mendatar pada RM8.52.
Dalam senarai paling aktif, AmBest Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 8.0 sen kepada 33 sen, Zetrix AI dan Gamuda, masing-masing merosot 4.0 sen kepada 65.5 sen dan RM3.99, Top Glove menurun 0.5 sen kepada 57.5 sen manakala MMAG tidak berubah pada 5.0 sen.
Kaunter paling untung termasuklah HI Mobility, naik 10 sen kepada RM2.30, Malayan Cement meningkat 3.0 sen kepada RM8.25, Superlon menambah 2.5 sen kepada 69.5 sen serta Karex dan IJM Corporation, masing-masing menokok 2.0 sen kepada 64 sen dan RM2.82.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 berkurangan 39.54 mata kepada 12,432.41, Indeks FBM Emas merosot 43.07 mata kepada 12,601.35, Indeks FBM Mid 70 jatuh 112.04 mata kepada 17,186.47, Indeks FBM Emas Shariah menurun 60.87 mata kepada 12,064.45 dan Indeks FBM ACE merosot 43.35 mata kepada 4,591.0.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 32.13 mata kepada 21,441.91, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.76 mata kepada 173.77, Indeks Perladangan menurun 22.74 mata kepada 8,319.64 dan Indeks Tenaga menyusut 4.98 mata kepada 735.67.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


