Ringkasan AI
- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah menyifatkan perkhidmatan ECRL sebagai pemangkin pembangunan di negeri Pantai Timur.
- Baginda berharap tujuh stesen ECRL di Pahang menjadi hab pembangunan ekonomi dan tidak sekadar menyediakan perkhidmatan pengangkutan.
- Baginda menekankan kepentingan penyelenggaraan dan operasi ECRL yang mengutamakan keselamatan untuk mengelakkan insiden tidak diingini.
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai pemangkin perubahan yang bakal melonjakkan pembangunan di negeri Pantai Timur.
Al-Sultan Abdullah bertitah kepesatan pembangunan di Pantai Barat sebelum ini dipacu oleh kewujudan jaringan jalan raya dan kereta api yang lebih awal, justeru pembinaan ECRL digabungkan dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) dilihat dapat merancakkan pembangunan di sebelah Pantai Timur.
Menyentuh mengenai tujuh stesen ECRL di Pahang, baginda berharap lokasi berkenaan dapat dijadikan hab pembangunan ekonomi.
“Jangan sekadar hanya ada stesen tetapi tidak memacukan kegiatan ekonomi setempat khususnya di daerah yang mempunyai stesen kereta api ini,” titah baginda ketika berangkat menyempurnakan perasmian Stesen ECRL KotaSAS di sini hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka anakanda, termasuk Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri serta Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.
Al-Sultan Abdullah turut mengimbau perjalanan projek infrastruktur nasional itu yang telah melalui pentadbiran lima Perdana Menteri serta tiga Yang di-Pertuan Agong termasuk baginda.
Baginda bertitah pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai perancangan projek berkenaan, selain memainkan peranan dalam memastikan pelaksanaannya diteruskan.
“...kita mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin terdahulu dan juga semua pihak yang terlibat yang telah berjaya menyediakan serta menyiapkan projek ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Pahang turut menitahkan agar aspek penyelenggaraan dan operasi sentiasa mengutamakan faktor keselamatan bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Pada majlis berkenaan, baginda berkenan menandatangani plak perasmian dan menyaksikan tayangan video montaj stesen ECRL KotaSAS.
Al-Sultan Abdullah dan keluarga diraja turut berkenan mencuba pengangkutan awam tersebut dari Stesen KotaSAS ke Stesen ECRL Bentong.
-- BERNAMA