Skip to main content

Malaysia

Kesesakan: Kerajaan lulus RM332 juta naik taraf tiga persimpangan di Shah Alam

Kementerian Kerja Raya tidak bercadang melebarkan Lebuhraya Persekutuan kerana kos pengambilan tanah dan impak sosial yang tinggi di kawasan pesat membangun.
Kementerian Kerja Raya tidak bercadang melebarkan Lebuhraya Persekutuan kerana kos pengambilan tanah dan impak sosial yang tinggi di kawasan pesat membangun.

Ringkasan AI

  • Kerajaan meluluskan RM332 juta untuk menaik taraf tiga persimpangan di Jalan Subang hingga Persiaran Jubli Perak, Petaling, Selangor bagi mengurangkan kesesakan trafik.
  • Kementerian Kerja Raya tidak bercadang melebarkan Lebuhraya Persekutuan kerana kos pengambilan tanah dan impak sosial yang tinggi di kawasan pesat membangun.
  • KKR menggalakkan penggunaan pengangkutan awam seperti LRT3 dan sedang meneliti cadangan lebuh raya bertol baharu daripada pihak swasta.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan RM332 juta bagi projek menaik taraf tiga persimpangan di Jalan Subang hingga Persiaran Jubli Perak (FT3214), Petaling, Selangor, bagi mengurangkan kesesakan trafik di sekitar Shah Alam, termasuk Lebuhraya Persekutuan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan projek itu melibatkan kerja menaik taraf persimpangan serta pembinaan jejambat bagi menyediakan laluan alternatif mengurangkan kesesakan di kawasan itu.

“Laluan alternatif ini dijangka dapat mengalihkan sebahagian aliran trafik daripada jalan sedia ada, termasuk Lebuhraya Persekutuan, sekali gus membantu mengurangkan beban trafik di rangkaian jalan raya sekitar Shah Alam yang dipengaruhi jumlah trafik dan kenderaan berat yang tinggi,” katanya menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam).

Advertisement

Menurut KKR, bancian trafik 2025 di stesen berhampiran Pejabat KEMAS Selangor mendapati tahap perkhidmatan jalan (LOS) Lebuhraya Persekutuan FT2 menunjukkan aliran trafik sangat sesak, dipengaruhi pertumbuhan pesat kawasan perumahan, perindustrian dan komersial di sepanjang koridor berkenaan.

Bagaimanapun, KKR ketika ini tidak bercadang melaksanakan pelebaran lebuh raya atau pembinaan laluan bertingkat di koridor itu berikutan implikasi kos yang tinggi.

Advertisement

“Perkara ini berikutan kos pengambilan balik tanah yang tinggi, khususnya di kawasan yang telah pesat membangun, selain melibatkan pengambilan aset sedia ada serta berpotensi memberi kesan impak sosial kepada penduduk dan pemilik premis di kawasan terlibat,” katanya.

Sebagai alternatif, KKR menggalakkan pengguna memanfaatkan pengangkutan awam, termasuk LRT Laluan Shah Alam (LRT3) yang mula beroperasi pada 29 Jun lepas, menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama dengan kemudahan pertukaran ke Laluan LRT Kelana Jaya di Glenmarie bagi mengurangkan jumlah kenderaan.

Sementara itu, KKR juga sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya bertol bagi menangani kesesakan di Lebuhraya Persekutuan.

Menurutnya, beberapa cadangan projek lebuh raya baharu daripada pihak swasta yang melibatkan sebahagian atau sambungan daripada jajaran Lebuhraya Persekutuan telah diterima dan akan diperincikan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement