Ringkasan AI
- Antonio Guterres menegaskan usaha pembangunan semula Gaza mesti diterajui rakyat Palestin dan melibatkan wanita serta belia dalam proses pemulihan.
- Beliau menyatakan pemulihan perlu merangkumi akses air bersih, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, sumber mata pencarian dan pemulihan hubungan sosial masyarakat.
- Guterres menekankan penyelesaian dua negara sebagai satu-satunya jalan penyelesaian, berdasarkan sempadan sebelum 1967 dan undang-undang antarabangsa.
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Isnin menegaskan bahawa usaha pembangunan semula Gaza mesti diterajui rakyat Palestin dan tidak seharusnya tertumpu kepada pembinaan semula rumah serta infrastruktur semata-mata, lapor Xinhua.
Beliau berkata usaha pemulihan yang diterajui rakyat Palestin perlu memastikan wanita dan golongan belia memainkan peranan bermakna dalam membentuk proses pemulihan serta menentukan masa depan mereka.
Perkara itu dinyatakan dalam teks ucapan yang disediakan sempena mesyuarat khas Jawatankuasa mengenai Pelaksanaan Hak-Hak Rakyat Palestin yang Tidak Boleh Dinafikan bagi memperingati Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin, yang disambut pada 29 Nov setiap tahun.
Ucapan Guterres itu dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Agung PBB Amina Mohammed.
Menurut Guterres, penilaian bersama PBB dan Bank Dunia mendapati konflik di Gaza telah menghapuskan kemajuan pembangunan manusia yang dicapai sepanjang 77 tahun.
Beliau berkata usaha memulihkan keadaan memerlukan akses kepada air bersih, pemulihan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan sumber mata pencarian secepat mungkin.
Bagaimanapun, katanya, usaha pemulihan tidak boleh terhenti setakat itu, sebaliknya perlu merangkumi usaha memperbaiki hubungan sosial dan memulihkan kesejahteraan masyarakat.
Guterres turut menegaskan bahawa pembangunan semula tidak boleh menggantikan penyelesaian politik, sebaliknya wilayah Palestin yang diduduki mesti kekal bersepadu dari segi politik, ekonomi dan wilayah serta disatukan di bawah sebuah kerajaan Palestin yang sah, berdaulat dan demokratik.
"Menamatkan pendudukan haram Israel secepat mungkin dan merealisasikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri mesti kekal sebagai teras usaha bersama kita," kata beliau.
Beliau menjelaskan lebih banyak negara mengiktiraf Negara Palestin pada 2025, selain Perhimpunan Agung PBB menerima pakai Deklarasi New York pada tahun yang sama.
"Momentum politik ini mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit bagi menghalang pengilhakan yang tidak sah di sisi undang-undang, menghentikan peluasan penempatan, memperkukuh institusi Palestin dan memajukan proses politik yang boleh dipercayai," kata beliau.
Guterres menegaskan bahawa keamanan di Asia Barat tidak akan tercapai tanpa merealisasikan hak sah rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.
Menurut beliau, satu-satunya jalan penyelesaian yang berdaya maju ialah penyelesaian dua negara, membabitkan Israel dan Palestin sebagai dua negara merdeka, berdaulat dan demokratik yang hidup secara aman serta selamat bersebelahan dalam sempadan yang diiktiraf.
Beliau berkata penyelesaian itu mesti berasaskan garis sempadan sebelum 1967, selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB dan perjanjian terdahulu.
-- BERNAMA-XINHUA