Skip to main content

Dunia

Bekas PM Bangladesh Sheikh Hasina rancang pulang ke tanah air pada 16 Dis

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Bangladesh Shama Obaed Islam pada Isnin berkata Hasina akan ditahan dan dipenjarakan sebaik sahaja pulang ke negara itu. - Gambar fail/AP
Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Bangladesh Shama Obaed Islam pada Isnin berkata Hasina akan ditahan dan dipenjarakan sebaik sahaja pulang ke negara itu. - Gambar fail/AP

Ringkasan AI

  • Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, menetapkan 16 Disember sebagai tarikh pulang ke tanah air dari India sempena Hari Kemenangan Bangladesh.
  • Kerajaan Bangladesh telah meminta India mengekstradisi Hasina, yang dijatuhi hukuman mati tanpa kehadiran atas jenayah terhadap kemanusiaan pada 2024.
  • Hasina akan ditahan dan dipenjarakan sebaik tiba di Bangladesh, sementara parti Liga Awami pimpinannya masih dilarang berpolitik.
Advertisement

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan Sheikh Hasina memutuskan untuk pulang ke tanah air dari India pada 16 Dis ini bersempena dengan Hari Kemenangan Bangladesh, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media Bangladesh, Daily Waadaa pada Selasa.

Bekas Menteri Negara bagi Penerangan dalam pentadbiran Hasina, Mohammad Ali Arafat mengesahkan perkembangan itu kepada Anadolu.

"Ya, beliau telah menetapkan tarikhnya. Kini terserah kepada pentadbiran semasa Bangladesh untuk memudah cara kepulangannya," katanya.

Advertisement

Ini merupakan kali pertama Hasina menetapkan tarikh khusus untuk pulang ke tanah air sejak melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024, susulan kebangkitan rakyat secara besar-besaran yang menamatkan pemerintahannya selama 15 tahun.

Hasina turut meminta kerajaan Bangladesh mengurus kepulangannya dari New Delhi dengan menaiki pesawat syarikat penerbangan nasional Biman Bangladesh Airlines.

Advertisement

Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar Bangladesh Shama Obaed Islam pada Isnin berkata Hasina akan ditahan dan dipenjarakan sebaik sahaja pulang ke negara itu.

Dhaka telah meminta India mengekstradisi Hasina mengikut perjanjian ekstradisi sedia ada antara kedua-dua negara.

Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan politik semakin meningkat dan berlaku siri insiden keganasan sejak Hasina memohon pasport baharu serta dokumen lain awal bulan ini.

Parti Liga Awami pimpinan Hasina masih dilarang menjalankan aktiviti politik di Bangladesh.

Beliau dijatuhi hukuman mati tanpa kehadirannya di mahkamah pada November 2025 atas jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan semasa kebangkitan rakyat pada 2024.

Bangladesh menyambut Hari Kemenangan pada 16 Dis bagi memperingati peristiwa tentera Pakistan menyerah kalah pada 1971 yang menamatkan Perang Pembebasan selama sembilan bulan dan membuka jalan kepada kemerdekaan negara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement