Skip to main content

Malaysia

Tanah runtuh, kepala air: JAKOA tidak galak NGO masuk kampung Orang Asli

Pihak JAKOA mahu mengelakkan jambatan sedia ada di petempatan Orang Asli daripada rosak atau runtuh kerana ia boleh menjejaskan laluan keluar masuk penduduk dan memberikan kesan besar kepada kehidupan mereka. - Gambar hiasan/BERNAMA
Pihak JAKOA mahu mengelakkan jambatan sedia ada di petempatan Orang Asli daripada rosak atau runtuh kerana ia boleh menjejaskan laluan keluar masuk penduduk dan memberikan kesan besar kepada kehidupan mereka. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

GUA MUSANG: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak menggalakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan mengadakan aktiviti atau kunjungan ke perkampungan Orang Asli sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) berikutan risiko tanah runtuh dan kejadian kepala air di kawasan pedalaman.

Pengarah JAKOA Negeri Kelantan dan Terengganu Mohd Faedzyal Mohamed berkata keadaan jalan yang terjejas akibat hujan lebat boleh mengundang bahaya kepada pengunjung, selain berpotensi menjejaskan keselamatan penduduk setempat.

Beliau berkata pergerakan kenderaan pacuan empat roda (4x4) secara berkumpulan di laluan perkampungan Orang Asli juga dikhuatiri menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan yang menjadi penghubung utama penduduk.

Advertisement

“Ketika musim hujan lebat dan MTL, kita tidak menggalakkan kumpulan 4x4 atau mana-mana kumpulan yang ingin memasuki perkampungan Orang Asli bagi mengelakkan jalan di kawasan berkenaan rosak serta risiko berlakunya tanah runtuh.

“Kita juga mahu mengelakkan jambatan sedia ada di petempatan Orang Asli daripada rosak atau runtuh kerana keadaan itu boleh menjejaskan laluan keluar masuk penduduk dan memberikan kesan besar kepada kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Kurang Upaya (OKU) Orang Asli di Kampung Bukit Beringin, Pos Pulat, di sini.

Advertisement

Mohd Faedzyal berkata NGO dan persatuan yang berhasrat menjalankan aktiviti atau mengadakan program di perkampungan Orang Asli perlu mendapatkan kebenaran JAKOA terlebih dahulu bagi memastikan setiap aktiviti diselaraskan oleh pihak jabatan.

Beliau berkata keperluan mendapatkan kebenaran itu terpakai sepanjang tahun dan bukan hanya ketika musim MTL, manakala borang permohonan boleh diperoleh menerusi laman web rasmi JAKOA.

Beliau berkata JAKOA sentiasa terbuka kepada penglibatan NGO dan persatuan dalam membantu masyarakat Orang Asli, namun aspek keselamatan perlu diutamakan, terutama ketika musim hujan lebat dan bencana.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement