KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada sesi awal dagangan Jumaat, menjejaki prestasi Wall Street yang susut untuk hari ketiga berturut-turut ketika kenaikan kadar faedah yang agresif oleh bank pusat negara itu terus menjejaskan sentimen.

Malah, bank pusat lain seperti Swiss National dan Bank of England turut bertindak menaikkan kadar faedah masing-masing sebanyak 75 mata asas dan 50 mata asas berikutan langkah pihak Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), kata peniaga.

Pada 9.03 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.96 mata kepada 1,438.20 daripada 1,439.16 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 0.05 mata kepada 1,439.11.

Bagaimanapun, sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 119 berbanding 102 manakala 174 lain tidak berubah, 2,003 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 76.16 juta unit bernilai RM37.42 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, FBM KLCI susut selepas sentimen lemah menyebabkan aktiviti jualan ketara di peringkat global berikutan pendirian berterusan Fed yang cenderung menaikkan kadar faedah dan kalangan pelabur pula terus menjangkakan lebih banyak kenaikan lebih agresif di masa depan.

"Oleh itu, kami yakin bursa tempatan berkemungkinan akan terus kekal berhati-hati dan cenderung susut. Selain itu, pelabur akan turut menunggu maklumat mengenai kadar inflasi Malaysia untuk mengukur prospek keputusan Bank Negara Malaysia mengenai Kadar Dasar Semalaman yang akan datang," katanya.

Firma pembrokeran itu berkata harga minyak mentah dijangka dalam jajaran US$90 bagi masa terdekat ini manakala harga minyak sawit mentah (MSM) di bawah RM3,800.

"Kami juga kekal positif terhadap prospek sektor perbankan berikutan senario kenaikan kadar faedah dan menjangkakan sektor telekomunikasi, berkaitan solar, pembinaan serta bahan binaan mungkin dapat menarik minat belian menjelang pembentangan Bajet 2023.

"Stok minyak dan gas pula dijangka mencatat prestasi baik dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan pendapatan sejak suku tahun lepas," katanya.

Saham wajaran tinggi seperti Public Bank rugi satu sen kepada RM4.38, Petronas Chemicals susut empat sen kepada RM8.46, IHH Healthcare turun lima sen kepada RM5.95 manakala Maybank untung satu sen kepada RM8.72 dan CIMB Bank tidak berubah pada RM5.38.

Bagi saham aktif, Resintech dan Cnergenz masing-masing naik dua sen kepada 56 sen dan RM1.04, waran Resintech menokok setengah sen kepada 15 sen, Jentayu menambah satu sen kepada 55.5 sen manakala China Automobile meraih setengah sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 0.13 mata kepada 10,293.68, Indeks FBM 70 meraih 5.5 mata kepada 12,559.80, Indeks FBMT 100 susut 4.04 mata kepada 10,028.21, Indeks FBM Emas Shariah turun 5.20 mata kepada 10,353.02 dan FBM ACE merosot 20.52 mata kepada 4,798.13.

Bagi sektor pula, Indeks Tenaga naik 5.22 mata kepada 725.09, Indeks Perladangan menokok 6.05 mata kepada 6,850.74, Indeks Perkhidmatan Kewangan meraih 11 mata kepada 16,345.45 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.33 mata kepada 174.57.

-- BERNAMA