KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri peningkatan semalam apabila dibuka rendah pada awal dagangan Rabu selepas penyusutan semalaman Wall Street apabila angka inflasi pengguna Amerika Syarikat (AS) mengatasi jangkaan awal, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan bagi penurunan kadar faedah yang lebih awal.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.46 mata kepada 1,527.91 daripada paras penutup Selasa 1,531.37.

Indeks petunjuk utama itu dibuka turun 3.58 mata kepada 1,527.79.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 238 berbanding 67 manakala 208 kaunter tidak berubah, 1,787 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 128.9 juta unit bernilai RM46.44 juta.

Wall Street merosot selepas data inflasi pengguna bagi Januari 2024 ternyata mengatasi jangkaan, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan mengenai langkah penurunan kadar faedah bagi tempoh lebih awal.

Sementara itu Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata FBM KLCI berjaya melepasi paras 1,520 apabila ditutup melebihi paras 1,530 semalam berikutan pembelian berterusan saham-saham mewah oleh dana asing.

"Walaupun jumlah harian kekal rendah, kami percaya jika perkembangan itu berterusan, mudah tunai akan terus meningkat dan menarik kehadiran semula peruncit," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Beliau juga menjangkakan dagangan hari ini akan menyaksikan indeks utama bergerak dalam julat 1,525-1,535 berikutan sentimen yang berhati-hati susulan prestasi semalaman Wall Street.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM9.40; Public Bank turun satu sen kepada RM4.39; CIMB merosot lima sen kepada RM6.29; Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM11.04 dan Petronas Chemicals rugi satu sen kepada RM6.83.

Saham aktif termasuk Bintai Kinden tidak berubah pada 7.5 sen; Widad sebaliknya menokok setengah sen kepada 12.5 sen; YNH Property menambah satu sen kepada 68.5 sen manakala waran Tanco tidak berubah pada 29.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 25.97 mata kepada 11,348.03; Indeks FBMT 100 susut 24.59 mata kepada 11,005.20; Indeks FBM 70 merosot 32.93 mata kepada 15,301.38; Indeks FBM Emas Shariah turun 22.52 mata kepada 11,390.12 dan Indeks FBM ACE kehilangan 26.50 mata kepada 4,807.02.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Hartanah turun 4.45 mata kepada 923.11; Indeks Perladangan merosot 12.82 mata kepada 7,263.81 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.70 mata kepada 890.70.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 39.85 mata kepada 17,108.41 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.23 mata kepada 174.53.

-- BERNAMA