KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini rendah, mengambil petunjuk daripada prestasi lemah semalaman Wall Street yang terjejas oleh penurunan penarafan kredit AS oleh Fitch, kata seorang penganalisis.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.07 mata kepada 1,442.49 daripada 1,444.56 pada penutup Rabu. Indeks utama dibuka pada paras 1,441.37, susut 3.19 mata.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 236 berbalas 95, manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,701 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 230.06 juta unit bernilai RM77.44 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street akhirnya kehilangan momentum apabila Fitch menurunkan penarafan kedaulatan AS daripada AAA kepada AA+, sekali gus mencetuskan kegiatan penjualan.

Purata Indeks Dow Jones kerugian 348 mata manakala Nasdaq merosot 310 mata apabila hasil 10 tahun AS meningkat lebih tinggi kepada 4.09 peratus.

Di pasaran tempatan, FBM KLCI menyusut apabila sentimen menjadi lebih berhati-hati disebabkan oleh penurunan yang meluas di kalangan pasaran serantau.

"Walaupun kami berpendapat sentimen pasaran mungkin telah terjejas oleh penurunan taraf AS, kami percaya ini memberikan peluang terbaik untuk kemunculan kegiatan mendapatkan saham harga murah kerana berdasarkan penurunan penarafan AS terakhir pada 2011, kami mendapati pasaran ekuiti tidak mengalami sebarang reaksi negatif yang berpanjangan.

"Justeru, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,440-1,450 hari ini," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing kerugian tiga sen kepada RM8.92 dan RM4.10, Tenaga Nasional turun empat sen menjadi RM9.53 dan Petronas Chemicals susut satu sen untuk mencatatkan harga RM6.74 manakala CIMB tidak berubah pada RM5.47.

Bagi saham aktif, Mudajaya menambah 1.5 sen kepada 20 sen, MRCB peroleh satu sen menjadi 38.5 sen sementara UEM Sunrise turun setengah sen kepada 50 sen.

Tanco dan Leform, kedua-duanya kekal untuk mencatatkan harga 55.5 sen dan 21.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 18.95 mata kepada 10,592.70, Indeks FBMT 100 susut 18.06 mata menjadi 10,287.62 dan Indeks FBM Emas Syariah lemah 12.22 mata kepada 10,860.23.

Indeks FBM ACE turut merosot 5.23 mata kepada 5,283.66 dan Indeks FBM 70 menguncup 38.39 mata kepada 13,873.49.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.27 mata untuk mencatatkan paras 165.50, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 44.27 mata kepada 16,079.12, dan Indeks Tenaga turun 5.48 mata kepada 826.99.

Indeks Perladangan meningkat 26.27 mata kepada 7,127.16.

-- BERNAMA