SEBERANG PERAI: Tahap kepuasan rakyat terhadap prestasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencapai 70.8 peratus, berdasarkan Kajian Kepuasan Rakyat 2026 yang dijalankan Penang Institute tahun ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata kajian melibatkan 1,686 responden itu memberikan gambaran mengenai persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan negeri dalam menangani isu serta melaksanakan dasar dan projek pembangunan yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Chow berkata dapatan kajian itu turut menunjukkan tahap kepuasan berbeza mengikut kumpulan umur dan etnik, sekali gus perlu diberi perhatian oleh kepimpinan kerajaan negeri.
"Antara yang menarik, golongan berusia 15 hingga 24 tahun menunjukkan tahap kepuasan melebihi purata, iaitu 86 peratus terhadap kerajaan negeri manakala bagi golongan berusia 60 hingga 74 tahun, tahap kepuasan terhadap kerajaan negeri ialah 72 peratus," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026 DAP Pulau Pinang dan KADUN Perai di Dewan Serbanguna Taman Chai Leng di sini hari ini, yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 pengunjung berbilang bangsa.
Turut hadir Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Perai, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng serta barisan kepimpinan DAP negeri.
Mengenai dapatan mengikut kumpulan etnik, Chow berkata tahap kepuasan masyarakat Cina terhadap kerajaan negeri ialah 66 peratus, masyarakat Melayu mencatatkan 74 peratus manakala masyarakat India 82 peratus.
Beliau turut memaklumkan berdasarkan Kajian Kepuasan Rakyat, tahap kepuasan rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan adalah 59.6 peratus.
Chow berkata walaupun kajian itu hanya melibatkan 1,686 responden, saiz sampel berkenaan berdasarkan metodologi kajian boleh mewakili populasi rakyat Pulau Pinang.
"Rakyat ingin melihat kesan dasar yang dibawa kerajaan, manfaat daripada projek yang dilaksanakan serta perubahan yang dapat mereka rasai, termasuk dalam aspek pengurusan lalu lintas, mitigasi banjir, bekalan air, perkhidmatan perubatan dan pendidikan," katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau mengingatkan semua pemimpin kerajaan negeri, wakil rakyat, ahli majlis serta agensi kerajaan supaya terus meningkatkan prestasi penyampaian perkhidmatan kerana pencapaian agensi turut mencerminkan prestasi kepimpinan kerajaan.
Chow turut menegaskan keyakinannya bahawa beliau selaku Ketua Menteri tidak akan membenarkan Pulau Pinang tewas pada pilihan raya akan datang, namun usaha berterusan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk mencapai matlamat itu.
-- BERNAMA