Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya tiga maut dan 36 hilang selepas kebakaran besar memusnahkan kilang gula-gula di Cikande, Serang, Banten, Indonesia.
- Pasukan bomba dan penyelamat masih menjalankan operasi memadam kebakaran dan mencari mangsa yang dipercayai terperangkap dalam bangunan tiga tingkat itu.
- Punca kebakaran masih disiasat, sementara beberapa mangsa terselamat mendakwa ia bermula dari unit penyejuk di tingkat tiga kilang.
SERANG: Sekurang-kurangnya tiga orang maut manakala 36 lagi masih hilang selepas kebakaran besar memusnahkan sebuah kilang gula-gula di wilayah Banten, Indonesia pada Sabtu.
Kebakaran berlaku di kilang milik PT Fonusa Agung Mulia di kawasan perindustrian Cikande, daerah Serang, kira-kira 50 kilometer ke barat Jakarta, lapor Independent.
Kilang berkenaan merupakan pengeluar gula-gula berasaskan susu dan makanan ringan jenama Milkita.
Gabenor Banten, Andra Soni berkata kira-kira 60 pekerja berada di dalam premis ketika kebakaran berlaku.
Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) memaklumkan seramai 15 mangsa berjaya diselamatkan termasuk empat yang cedera dan dibawa ke hospital serta klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Pegawai Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat Banten, Rizky Dwianto berkata pasukan bomba dari daerah Serang dan wilayah Banten masih bertungkus-lumus memadamkan kebakaran walaupun lebih 12 jam selepas kejadian.
"Api masih marak di beberapa lokasi dan pasukan pemadam kebakaran sedang meneruskan operasi pemadaman serta penyejukan struktur," katanya.
Rakaman televisyen tempatan menunjukkan api menjulang dari bangunan kilang tiga tingkat itu, manakala asap hitam tebal menyelubungi kawasan sekitar.
Setakat ini, punca kebakaran masih disiasat dan pihak berkuasa belum mengesahkan sama ada kesemua 36 pekerja yang hilang berada di dalam bangunan ketika kejadian.
Bagaimanapun, beberapa mangsa terselamat mendakwa api dipercayai berpunca daripada sebuah unit penyejuk di tingkat tiga kilang berkenaan.
Menurut Rizky, pasukan mencari dan menyelamat bersama anggota bomba serta Palang Merah Indonesia sedang melakukan pencarian bahagian bangunan yang rosak teruk dengan memberi tumpuan kepada lokasi mangsa dipercayai terperangkap.
Dalam perkembangan sama, Polis Daerah Banten memaklumkan beberapa beg jenazah telah dibawa keluar untuk proses pengecaman forensik.