LAS VEGAS: Max Verstappen mempamerkan aksi cemerlang untuk menjuarai Grand Prix (GP) Las Vegas dalam perlumbaan penuh dramatik yang turut menyaksikan dua pelumba Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc, sekali lagi terlibat dalam insiden pelanggaran, lapor PA Media/dpa.
Verstappen dan George Russell saling memintas sebanyak 12 kali ketika bersaing merebut kedudukan pendahulu, sebelum Lando Norris dan Kimi Antonelli turut memberikan saingan sengit.
Norris dan Antonelli masing-masing sempat mendahului perlumbaan, namun Verstappen terus mempamerkan ketangkasan untuk kekal bersaing di barisan hadapan meskipun kelebihan aliran udara di belakang kereta lain (slipstream) menyebabkan kedudukan pendahulu sering berubah.
Selepas 50 pusingan, Verstappen melintasi garisan penamat dengan kelebihan 0.6 saat di hadapan Norris, manakala rakan sepasukan McLaren, Oscar Piastri menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Antonelli menduduki tempat keempat, sementara Russell sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan selepas terlanggar penghadang ketika berbaki dua pusingan.
Sementara itu, ketegangan antara Hamilton dan Leclerc semakin memuncak selepas kedua-duanya terlibat dalam pelanggaran ketika berbaki 13 pusingan.
Leclerc dikenakan penalti 10 saat susulan insiden itu, menyebabkannya jatuh ke kedudukan ke-10.
Hamilton yang sebelum itu turut menerima penalti 10 saat akibat insiden dengan Norris, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, sekali gus melengkapkan satu lagi perlumbaan mengecewakan buat Ferrari.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa