KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin disokong oleh minat belian dalam kebanyakan sektor, kata penganalisis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 2.39 mata kepada 1,538.46 daripada 1,536.07 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.43 mata kepada 1,537.50.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 224 berbanding 126 manakala 314 kaunter tidak berubah, 1,609 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 160.24 juta unit bernilai RM62.56 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka sentimen akan kekal rendah hari ini dengan indeks berada dalam julat 1,530-1,540 walaupun minat belian yang tinggi dilihat dalam sektor kewangan dan telekomunikasi pada Jumaat lepas.

Mengenai pasaran komoditi, Thong berkata minyak sawit mentah (MSM) terus mencatatkan aliran meningkat pada sekitar RM4,200 satu tan sejajar dengan pengukuhan minyak makan lain.

Bagi minyak mentah, minyak mentah Brent ditutup pada US$87 setong dalam persekitaran ekonomi yang lebih baik dan pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) dan ramai menjangka harga akan melepasi US$90 setong tidak lama lagi.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Telekom Malaysia meningkat 7.0 sen kepada RM6.06, Sime Darby dan IOI Corp, masing-masing menambah 2.0 sen kepada RM2.62 dan RM4.00, Sime Darby Plantation naik 3.0 sen kepada RM4.34 dan Petronas Chemicals Group meningkat 4.0 sen kepada RM6.75.

Bagi saham aktif, Sapura Energy susut setengah sen kepada 4.5 sen, Handal Energy naik 1.5 sen kepada 10 sen, MMAG tidak berubah pada 19 sen dan Sealink meningkat 1.0 sen kepada 20.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 20.57 mata kepada 11,592.16 dan Indeks FBMT 100 meningkat 19.32 mata kepada 11,237.41 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 20.80 mata kepada 11,664.32.

Indeks FBM 70 naik 38.55 mata kepada 16,272.63 dan Indeks FBM ACE meningkat 8.05 mata kepada 4,905.11.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.54 mata kepada 180.17, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 22.32 mata kepada 17,295.59, Indeks Perladangan meningkat 29.60 mata kepada 7,317.27 dan Indeks Tenaga naik 4.76 mata kepada 957.12.

-- BERNAMA