KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah terutamanya untuk saham telekomunikasi, produk pengguna dan perkhidmatan serta perkhidmatan kewangan susulan prestasi bercampur-campur di Wall Street semalaman.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.95 mata kepada 1,538.96 daripada 1,537.01 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.97 mata kepada 1,538.98.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 193 berbanding 128 dengan 278 kaunter tidak berubah, 1,719 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 145.28 juta unit bernilai RM76.68 juta.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee dalam nota berkata dana dijangka terus beralih kepada komoditi, terutamanya logam dan tenaga.

Beliau berkata indeks petunjuk pasaran dijangka berada dalam julat 1,540-1,550 hari ini.

Mengenai prestasi Wall Street, Yee berkata sentimen kekal terjejas oleh ketidaktentuan mengenai tempoh pelarasan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Dow Jones Industrial Average merosot 43 mata manakala Nasdaq menambah 37 mata apabila hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut kepada 4.35 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng berkurangan 206 mata, diterajui oleh saham perbankan dan hartanah berikutan harapan untuk penurunan kadar di AS yang terjejas.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CelcomDigi naik 7.0 sen kepada RM4.32, Petronas Dagangan meningkat 36 sen kepada RM22.38, RHB Bank menambah 5.0 sen kepada RM5.71, Sime Darby naik 2.0 sen kepada RM2.71 dan MR DIY meningkat 1.0 sen kepada RM1.49.

Bagi kebanyakan saham aktif, Southern Score Builders naik 1.0 sen kepada 37 sen, Tanco meningkat setengah sen kepada 85.5 sen, Paos menambah 6.0 sen kepada 43.5 sen dan MAG tidak berubah pada 18.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.66 mata kepada 11,599.43, Indeks FBMT 100 meningkat 14.16 mata kepada 11,235.98 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 16.45 mata kepada 11,730.28.

Indeks FBM 70 naik 20.17 mata kepada 16,249.60 dan Indeks FBM ACE meningkat 0.23 mata kepada 4,954.98.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 18.72 mata kepada 17,170.57, Indeks Tenaga meningkat 4.53 mata kepada 970.57 dan Indeks Perladangan menambah 8.74 mata kepada 7,319.90 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.14 mata kepada 179.77.

-- BERNAMA