Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki sentimen positif Wall Street

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.32 mata kepada 1,622.59 daripada 1,613.27 ketika ditutup pada Jumaat, selepas dibuka mengukuh 6.84 mata kepada 1,620.11. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, disokong oleh minat belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi secara menyeluruh dan keyakinan yang berterusan berikutan prestasi positif di Wall Street pada Jumaat lepas.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka tinggi dengan FBM KLCI naik 9.32 mata kepada 1,622.59, disokong oleh minat belian dalam saham wajaran tinggi dan sentimen positif dari Wall Street.
- Saham paling aktif termasuk Insights Analytics, Top Glove dan Perak Transit, manakala saham paling untung ialah Malaysian Pacific Industries dan Sam Engineering; Nestle antara saham paling rugi.
- Indeks sektor utama seperti Perkhidmatan Kewangan, Perladangan dan Tenaga turut mencatat kenaikan, menunjukkan keyakinan pasaran yang berterusan.
Jumlah dagangan berjumlah 393.52 juta saham bernilai RM238.42 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatatkan satu lagi rekod baharu selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang semakin reda telah meningkatkan keyakinan bahawa Rizab Persekutuan akan kekal untuk menurunkan kadar faedah pada masa akan datang.
Di dalam negara, bagi FBM KLCI, Thong masih berharap terdapat perkembangan positif daripada mesyuarat ASEAN yang sedang berlangsung.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,610-1,620 hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat enam sen kepada RM9.96, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.25, CIMB Group menokok sembilan sen kepada RM7.46, Tenaga Nasional menambah lapan sen kepada RM13.30 manakala IHH Healthcare susut dua sen kepada RM8.31.
Bagi saham paling aktif, Insights Analytics yang mula disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 35.0 sen kepada 71 sen, Top Glove meningkat 2.5 sen kepada 70 sen, Perak Transit menambah satu sen kepada 34.5 sen manakala TWL Holdings dan Tanco menambah setengah sen kepada tiga sen dan 89 sen.
Saham paling untung termasuk Malaysian Pacific Industries yang melonjak 72.0 sen kepada RM30.70, Sam Engineering meningkat 19.0 sen kepada RM4.73 manakala Kuala Lumpur Kepong dan United Plantations masing-masing naik 18.0 sen kepada RM20.70 dan RM24.18 dan Vstecs menambah 14 sen kepada RM4.04.
Saham paling rugi termasuk Nestle yang menyusut 80 sen kepada RM107.20, Pecca Group susut lima sen kepada RM1.31 manakala Malayan Cement, Petronas Gas dan Manulife Holdings masing-masing berkurangan empat sen kepada RM6.44, RM18.70 dan RM2.06.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 menambah 78.51 mata kepada 11,882.10, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 79.80 mata kepada 12,226.49, Indeks FBM ACE naik 36.23 mata kepada 5,328.89,Indeks FBM Emas mengukuh 81.51 mata kepada 12,152.51, dan Indeks FBM 70 menokok 158.77 mata kepada 17,329.76.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 124.98 mata kepada 18,329.62, Indeks Perladangan meningkat 48.40 mata kepada 7,957.69, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.67 mata kepada 172.58, dan Indeks Tenaga naik 2.34 mata kepada 793.66.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


